NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag Ditetapkan 24 Januari – SPR

PUTRAJAYA, 16 Disember – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Januari 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabah.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata penamaan calon akan berlangsung pada 10 Januari, manakala pengundian awal ditetapkan pada 20 Januari 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRK berkenaan di Menara SPR, di sini hari ini.

PRK tersebut diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Menurut Ramlan, daftar pemilih bagi PRK itu melibatkan 48,722 pemilih, terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis yang akan mengundi awal.

Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan keseluruhan bagi mengendalikan PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dianggarkan sebanyak RM10 juta.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam persaingan enam penjuru.

Kerusi DUN Lamag pertama kali dipertandingkan pada PRN Sabah ke-16 pada 2020, manakala bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar telah memenanginya sejak Pilihan Raya Umum 1999 dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen kawasan itu selama enam penggal berturut-turut.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo