- Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Pendakwa Raya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024 yang membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor.
- “Walaupun tindakan tersebut adalah dalam ruang kuasa yang diberikan oleh undang-undang di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, namun kes ini melibatkan kepentingan awam yang sangat besar,” katanya.
- Beliau menegaskan ketelusan dalam keputusan menarik balik rayuan itu dianggap penting bagi memelihara kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman dan sistem keadilan negara.
KUALA LUMPUR – Peguam Negara perlu segera tampil memberi penjelasan terbuka berhubung tindakan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes tuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Pendakwa Raya menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024 yang membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor.
“Walaupun tindakan tersebut adalah dalam ruang kuasa yang diberikan oleh undang-undang di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, namun kes ini melibatkan kepentingan awam yang sangat besar.
“Maka adalah lebih wajar jika Mahkamah Rayuan diberi ruang untuk membuat keputusan akhir tanpa dihentikan begitu sahaja melalui penarikan balik rayuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga merangkap Naib Pengerusi Keadilan Johor menegaskan ketelusan dalam keputusan menarik balik rayuan itu dianggap penting bagi memelihara kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman dan sistem keadilan negara.
“Ketelusan amat penting dalam kes ini bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan sistem keadilan negara tidak terhakis…lebih-lebih lagi apabila kes tersebut melibatkan tokoh berprofil tinggi,” tegasnya.
Terdahulu, media melaporkan, pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Berdasarkan kepada Notis Penarikan Balik Rayuan bertarikh 9 Disember lalu, Pendakwa Raya memaklumkan pihaknya tidak berhasrat meneruskan rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Rosmah daripada semua pertuduhan itu.
Notis itu menyatakan bahawa Pendakwa Raya memberi notis untuk merayu pada 20 Disember tahun lalu selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy (kini hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan berkenaan adalah tidak berasas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment