- “Bagaimana kerajaan mahu mengiktiraf UEC jika semua ini tidak selari dan melanggar Akta 550? Apakah justifikasinya? Jangan kerana mahu meraih laba politik, UEC dijadikan modal…
- “Cukuplah UEC itu dilaksanakan secara bersendirian atas dasar sedia ada dan tidak diusik. Jangan sampai ia diharamkan terus jika sudah menjadi barah yang merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini,” – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid
KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru semua pemimpin politik daripada DAP serta pejuang-pejuang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) supaya menghormati Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan mengutamakan kepentingan nasional, khususnya dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara.
“Saya menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik daripada DAP dan juga pejuang-pejuang UEC, supaya menghormati Akta 550 dan mengutamakan kepentingan nasional khususnya dalam memartabatkan pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambahnya, UEC jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan tidak selari dengan Dasar Pendidikan Nasional (DPN).
UEC juga tidak berpaksikan kepada teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digariskan secara jelas di bawah Akta 550, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap tuntutan pengiktirafan sijil tersebut oleh kerajaan.
“Bagi saya, pihak-pihak yang mendesak kerajaan supaya mengiktiraf UEC perlulah membaca, memahami dan hadam terlebih dahulu Akta 550 sebelum membuat sebarang tuntutan. Itu adalah asas penting dalam kehidupan bernegara, di mana kepentingan kenegaraan mesti diletakkan sebagai perkara pokok,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahdzir menegaskan bahawa perbincangan berkaitan pendidikan negara tidak boleh dibuat secara semberono tanpa kefahaman yang mendalam terhadap asas perundangan dan dasar sedia ada.
“Kita jangan hanya tahu bercakap tentang semua perkara, tetapi gagal memahami perkara asas kepada topik atau isu yang dibangkitkan,” ujarnya.
Mahdzir, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, berpandangan isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya terus dibangkitkan sekiranya pihak yang memperjuangkannya benar-benar menghormati akta yang telah termaktub secara terang dan jelas.
Beliau turut mempersoalkan keperluan mendesak untuk mengiktiraf UEC sedangkan kerajaan telah lama mengiktiraf sijil antarabangsa lain seperti O-Level dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).
“Apa keperluan yang sangat mendesak bagi UEC untuk diiktiraf, sedangkan sijil-sijil antarabangsa lain sudah sedia ada dan diterima sejak sekian lama?” soal beliau.
Menurut Mahdzir, antara faktor utama UEC tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan ialah kandungan silibusnya, khususnya subjek Sejarah yang lebih berfokus kepada sejarah China dan Asia Timur, dan bukannya sejarah Malaysia mengikut standard Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selain itu, beliau berkata UEC juga tidak menggunakan Kurikulum Kebangsaan serta tidak menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, sebaliknya menggunakan bahasa Mandarin.
UEC juga jelasnya, tidak berada di bawah pemantauan atau penyelarasan KPM seperti sekolah-sekolah swasta lain di negara ini.
“Bagaimana kerajaan mahu mengiktiraf UEC jika semua ini tidak selari dan melanggar Akta 550? Apakah justifikasinya? Jangan kerana mahu meraih laba politik, UEC dijadikan modal,” katanya.
Mahdzir turut memberi amaran agar isu UEC tidak terus dipolitikkan sehingga menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.
“Cukuplah UEC itu dilaksanakan secara bersendirian atas dasar sedia ada dan tidak diusik. Jangan sampai ia diharamkan terus jika sudah menjadi barah yang merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini,” tegas beliau.-The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment