Dalam satu kenyataan media hari ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menzahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Labuan, Lo Su Fui masing-masing sebagai Menteri serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, selain pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga dipegang oleh pemimpin DAP.
Menurut beliau, Wilayah Persekutuan merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan merupakan nadi politik serta pentadbiran negara, justeru pemusatan portfolio strategik bandar, kerajaan tempatan dan perumahan di tangan pemimpin daripada parti dan latar etnik yang sama menimbulkan persoalan besar berkait ketidakseimbangan, pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara.
PAS turut membangkitkan kebimbangan bahawa pelantikan berkenaan didakwa bukan berasaskan merit atau keperluan dasar, sebaliknya hasil tekanan serta tawar-menawar politik. Parti itu mengambil perhatian terhadap spekulasi bahawa rombakan tersebut berkait dengan desakan DAP, termasuk ancaman menarik diri daripada kerajaan sekiranya tuntutan tertentu seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak dipenuhi.
“Sekiranya jawatan kabinet dijadikan ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan, ia merupakan hakisan serius terhadap prinsip tadbir urus berintegriti serta melemahkan proses penggubalan dasar negara,” katanya.
PAS juga menyuarakan kebimbangan bahawa langkah berkenaan merupakan percaturan sengaja untuk mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama, sekali gus membolehkan sebuah parti mempengaruhi dasar perbandaran, penggunaan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan tanpa semak imbang yang berkesan.
Isu tersebut, menurut PAS, menjadi lebih membimbangkan dengan kewujudan cadangan undang-undang kontroversial seperti Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang didakwa berpotensi meminggirkan penduduk bandar tertentu, khususnya orang Melayu dan golongan berpendapatan rendah, termasuk risiko kehilangan hak milik.
Selain itu, PAS turut mempersoalkan pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri lain yang disifatkan menimbulkan keraguan dari sudut kekananan, pengalaman, kompetensi dan kesesuaian, memandangkan portfolio yang diamanahkan melibatkan kepentingan besar seperti generasi muda, pendidikan dan hal ehwal Islam.
Menurut Takiyuddin, ketiadaan justifikasi meyakinkan terhadap rombakan kabinet berkenaan hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa jawatan kabinet diagihkan mengikut kepentingan politik sempit, bukannya demi kepentingan rakyat dan negara.
“Rombakan kabinet seharusnya memulihkan keyakinan rakyat, bukan menambah keraguan, serta mencerminkan kemajmukan masyarakat melalui perwakilan adil dan pelantikan berasaskan merit,” tegas beliau.

No comments
Post a Comment