KUALA LUMPUR – Kenyataan atau janji yang dibuat oleh ahli-ahli politik akan sentiasa dibangkitkan rakyat terutamanya apabila parti yang diwakili mereka sudah berjaya memimpin kerajaan.
Jurucakap kerajaan Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu juga berlaku terhadap reaksi orang ramai selepas Adam Adli dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
“Ini berkait dengan apa yang pernah beliau (Adam Adli) sebut dan lontarkan sebelum ini, dan perkara itu dalam bidang politik adalah satu kebiasaan,
“Perdana Menteri juga sering dibangkitkan mengenai janji beliau untuk menurunkan harga minyak, jadi mana-mana ahli politik biasanya akan diingatkan dengan kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin sering diingatkan tentang kenyataan beliau menyebut Pas sebagai Parti Ajaran Sesat. Bagi saya itu adalah satu kebiasaan,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet menyaksikan antara lain Adam sendiri bertukar kementerian dari Kementerian Belia dan Sukan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.
Walaupun Adam kekal sebagai timbalan menteri, namun keberadaannya dalam KPT menjadi sasaran orang ramai yang menuntut agar beliau menunaikan janji pendidikan percuma.
Dalam pada itu, Fahmi juga berkata, Adam kini mempunyai banyak ruang untuk melihat cara terbaik melaksanakan janji pendidikan percuma itu dalam KPT.
“Sekiranya ia dari segi kewangan, pelaksanaan mampu dilaksanakan. Ada beberapa perkara sebenarnya melalui PTPTN telah berjaya kita laksanakan.
“Contoh hasrat untuk memberikan pendidikan percuma di mana sejumlah penerima bantuan PTPTN yang cukup syarat dalam kalangan B40 akan diberi pelepasan daripada membayar balik hutang PTPTN.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha pihak kerajaan, kita juga ambil maklum tentang jumlah hutang yang ada dengan pinjaman PTPTN,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peminjam-peminjam PTPTN agar melunaskan tanggungjawab mereka sekiranya pinjaman pendidikan itu masih belum selesai.
“Saya ingin beri sedikit peringatan kepada mereka yang pernah meminjam daripada PTPTN, pastikan anda melunaskan sekiranya ada sebarang hutang dengan pihak PTPTN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment