- “Pada pandangan saya, beberapa menteri kontroversi dengan pelbagai isu seperti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak terlibat dalam rombakan ini agak mengejutkan. Namun saya yakin Perdana Menteri memberi isyarat kepada kedua-dua menteri tersebut bahawa ini peluang kedua kepada mereka untuk membuat perubahan segera,” – Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub
- Beliau juga menyifatkan rombakan Kabinet tersebut sebagai langkah strategik Perdana Menteri, untuk membentuk apa yang disifatkan sebagai ‘Kabinet Perang’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
KUALA LUMPUR – Pengekalan menteri-menteri yang dilanda pelbagai isu dan kontroversi dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilihat agak mengejutkan.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata beliau menyifatkan ia sebagai peluang kedua buat menteri-menteri terbabit perbaiki serta melakukan perubahan.
“Pada pandangan saya, beberapa menteri kontroversi dengan pelbagai isu seperti Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tidak terlibat dalam rombakan ini agak mengejutkan.
“Namun saya yakin Perdana Menteri memberi isyarat kepada kedua-dua menteri tersebut bahawa ini peluang kedua kepada mereka untuk membuat perubahan segera,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Beliau juga menyifatkan rombakan Kabinet tersebut sebagai langkah strategik Perdana Menteri, untuk membentuk apa yang disifatkan sebagai ‘Kabinet Perang’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, langkah itu jelas bertujuan mewujudkan barisan Kabinet yang lebih bertenaga dengan menampilkan lebih ramai pemimpin muda sebagai menteri dan timbalan menteri.
“Saya yakin rombakan ini untuk mewujudkan ‘Kabinet Perang’ bertujuan untuk menawan hati rakyat menjelang berdepan PRU 16 dan mewujudkan satu kabinet yang bertenaga khususnya untuk menarik lebih ramai perhatian serta sokongan anak muda.
“Misalnya melantik pemimpin muda sebagai menteri dan timbalan menteri seperti Dr Taufiq Johari, Akmal Nasir, Dr Dzulkifli Hasan, Adam Adli, Mohd Shahar dan Yuneshwaran, malah meletakkan Akmal Nasir sebagai Menteri Ekonomi baru juga bagi memastikan kesegaran idea dan agenda yang berteraskan kehendak semasa rakyat,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, kenaikan pangkat enam timbalan menteri turut dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu prestasi kerja serta pertimbangan politik semasa.
“Saya setuju kedua dua faktor mempengaruhi kenaikan pangkat enam timbalan menteri berdasarkan prestasi mereka selama ini yang tidak terlalu terkait dengan kontroversi, memfokuskan tugas dan juga melibatkan pertimbangan politik semasa.
“Misalnya Arthur Kurup yang berjaya menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di kerusi Sook, kesetiaan Akmal Nasir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tidak meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri meskipun beliau dikaitkan dengan ‘pasukan Datuk Seri Rafizi Ramli’,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Dr. Mohammad Tawfik berpandangan rombakan Kabinet kali ini dilaksanakan pada waktu yang sesuai bagi mengisi kekosongan jawatan menteri di beberapa kementerian selain menyusun semula komposisi kepimpinan parti-parti komponen dalam kerajaan.
“Pada pendapat saya, rombakan Kabinet kali ini tepat pada masanya untuk mengisi kekosongan posisi Menteri di kementerian tertentu di samping menyusun semula komposisi pemimpin parti-parti komponen di dalam Kerajaan Madani.
“Dalam masa sama, rombakan ini perlu diterjemahkan melalui prestasi lebih cemerlang agar keyakinan rakyat terhadap kerajaan terus diperkukuh menjelang PRU akan datang,” ujarnya. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment