NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tunggang masyarakat Cina, Isu UEC timbul setiap kali DAP hilang sokongan



KUALA LUMPUR – Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sengaja ditimbulkan semula DAP setiap kali parti itu kehilangan sokongan pengundi Cina seperti mana dapat dilihat dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November lalu kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO.

Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, isu UEC seolah-olah skrip lama yang diputar DAP apabila keadaan tidak memihak kepada mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa sudah lama kita faham permainan politik DAP. Setiap kali mereka mula hilang sokongan, terutama daripada pengundi Cina, isu UEC akan muncul semula.

“Sebenarnya, kita sudah ada sistem penilaian nasional yang jauh lebih lengkap dan sesuai dengan Malaysia.

“Sistem ini dibina mengikut keperluan negara kita yang majmuk, dan ia sudah terbukti berkesan untuk semua kaum,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming kerana meminta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan mengenai pengiktirafan UEC.

Kemudian, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Howard Lee pula menyifatkan kenyataan Dr Akmal mengenai pengiktirafan UEC sebagai memutar belit dan berasaskan sentimen untuk menakut-nakutkan rakyat.

Zanuriman yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Selangor berkata, desakan DAP agar kerajaan mengiktiraf UEC memberi gambaran seolah-olah sistem pendidikan negara sedia ada tidak cukup baik.

“Sedangkan UEC sendiri tidak ikut kurikulum Malaysia. Kurikulum UEC diambil terus dari Taiwan, jadi memang tidak ada sebab kukuh kenapa ia perlu dijadikan laluan ke universiti awam atau perkhidmatan kerajaan.

“Kalau kita mula iktiraf sijil luar yang tidak selari dengan standard pendidikan negara, nanti banyak lagi tuntutan lain akan muncul.

“Akhirnya, sistem pendidikan kita akan jadi tidak stabil. Semua ikut cara sendiri tanpa satu arah yang sama,” katanya.

Selain itu, selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Selayang, Zanuriman melihat desakan DAP ini bukan sahaja membimbangkan, bahkan boleh memberi kesan kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Pendidikan ialah tempat anak kita belajar bersama, memahami satu sama lain dan erti menjadi rakyat Malaysia. Jika UEC diiktiraf, jurang antara kaum akan semakin besar.

“Integrasi dari peringkat sekolah rendah sampai ke universiti akan terjejas. Bila sistem pendidikan pun berpecah, sukar untuk kita bina masyarakat yang bersatu,” katanya.

Zanuriman turut berkata, ancaman kepada perpaduan nasional bukan fokus utama DAP, sebaliknya parti cauvinis itu lebih bimbang kepada sokongan pengundi Cina yang semakin hilang.

“Selepas keputusan PRN Sabah baru-baru ini, jelas ramai pengundi Cina sendiri sudah mula menjauh daripada mereka. Jadi tidak hairan bila isu UEC tiba-tiba dipanaskan semula.

“Ini lebih kepada cubaan mengambil hati semula penyokong yang makin hilang keyakinan. Malaysia tidak rugi apa-apa kalau tidak mengiktiraf UEC. Sistem pendidikan kita sendiri sudah cukup kuat untuk membina masa depan negara.

“Jangan biarkan agenda politik mana-mana pihak mengatasi kepentingan perpaduan dan pendidikan anak-anak kita. Rakyat pun sudah boleh nampak mana isu untuk negara dan mana isu untuk kepentingan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo