NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ART umpama Malayan Union 2.0, gugat negara




KUALA LUMPUR
: Pengerusi Payung Besar Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan berhenti bersuara dan berjuang selagi hayat di kandung badan demi memastikan bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air tidak tergadai kepada kuasa asing.
 
Menurut beliau, walaupun usianya kini telah melangkaui satu abad dan ada pihak menganggap pandangannya tidak lagi relevan, perjuangan mempertahankan kedaulatan negara tetap menjadi tanggungjawab yang tidak boleh ditinggalkan.
 
“Selagi nyawa di kandung badan, saya tidak akan berhenti berusaha dan berjuang untuk memastikan bangsa saya, agama saya dan tanah air saya tidak berpindah milik ke tangan orang lain,” ujarnya dalam Konvensyen Melayu 153 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Saloma di sini hari ini.
 
Tun Dr Mahathir berkata, generasinya dahulu berjuang menentang Malayan Union, pengganas komunis dan neokolonialisme, justeru beliau tidak sanggup berdiam diri melihat tanah air sekali lagi terdedah kepada penjajahan bentuk baharu.
 
Beliau turut mendedahkan beberapa pegawai tinggi tentera termasuk bekas Panglima Angkatan Tentera yang telah bersara menzahirkan kemarahan terhadap tindakan kerajaan yang menggadaikan kedaulatan negara menerusi Perjanjian Timbalan Balas (ART) serta perjanjian ketenteraan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
 
“Mereka walaupun telah bersara, perjuangan tidak pernah luntur kerana mereka adalah benteng yang mempertahankan kedaulatan negara dengan nyawa dan tubuh badan mereka,” ulasnya.
 
Tun Dr Mahathir berkata terdapat pihak yang disifatkannya sebagai pengkhianat bangsa yang terus mempertahankan perjanjian ART, walaupun ramai pemikir dalam negara menyedari perjanjian itu menggadaikan kedaulatan negara.
 
“Ada yang dengan bongkak mengatakan Malaysia sudah menetapkan garisan merah yang tidak boleh dilanggar oleh Amerika Syarikat dalam ART ini, terutama berkaitan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Kenyataan ini langsung tidak masuk akal,” tempelaknya.
 
Menurut beliau, sejarah membuktikan Amerika Syarikat sering mengabaikan ketetapan dan resolusi antarabangsa, termasuk keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), justeru tidak munasabah untuk mempercayai kuasa besar itu akan menghormati ‘garisan merah’ yang ditetapkan.
 
Beliau turut menolak dakwaan bahawa beliau cuba menakutkan rakyat berhubung ART, sebaliknya menegaskan rakyat khususnya orang Melayu memang wajar bimbang dengan ancaman penjajahan semula.
 
“ART ini semacam Malayan Union kedua yang dipaksakan ke atas kita oleh Amerika Syarikat. Seperti semasa Malay Union kali pertama, wujud pengkhianat bangsa yang mempertahankan British dan mahu terus kekal dijajah. Kali ini ART ataupun Malay Union kedua ini disokong oleh pengkhianat bangsa kita sendiri,” bidasnya.
 
Tun Dr Mahathir menegaskan hanya dengan penyatuan orang Melayu, negara mampu menentang usaha menyerahkan kedaulatan kepada penjajahan baharu, sebagaimana kejayaan menentang Malayan Union pada 1946.
 
”Apabila kita serahkan kedaulatan, ia akan menghakis hak Melayu dan Bumiputera, mengenepi kedaulatan Raja-raja Melayu serta negeri-negeri yang bergabung di dalam Persekutuan,” jelasnya.
 
Dalam konvensyen itu, beliau turut melancarkan Aku Janji Orang Melayu dan menyeru seluruh orang Melayu di negara ini menandatanganinya sebagai simbol penyatuan di bawah Payung Besar Melayu.
 
“Saya tidak minta dihormati atau disanjung. Kejilah dan hinalah saya. Saya cuma minta orang Melayu bersatu demi masa depan bangsa, agama dan tanah air,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/12/2025




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo