Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Fatin Muneerah Sofian selepas mendengar permohonan daripada pihak SPRM pada sesi pendengaran pagi tadi.
Peguam Albert, Mahajoth Singh, mengesahkan perkara itu ketika ditemui media di luar Kompleks Mahkamah Putrajaya.
Terdahulu, Albert atau nama penuhnya Tei Jiann Cheing, tiba di mahkamah dengan menaiki van SPRM bersama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri. Kedua-duanya dibawa bagi mendapatkan permohonan reman.
Namun begitu, proses permohonan reman terhadap Shamsul Iskandar masih berlangsung setakat tengah hari ini.
Semalam, media melaporkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, yang memaklumkan bahawa Albert ditahan kerana dianggap individu penting dalam siasatan dakwaan yang turut membabitkan Shamsul Iskandar.
Azam turut mendedahkan bahawa SPRM menyerahkan notis di bawah Seksyen 28A(9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Albert, yang membolehkan pihak penyiasat menafikan akses individu disiasat terhadap peguam atau mana-mana pihak lain.
Sementara itu, wanita yang dikaitkan dalam rakaman berkenaan, Sofia Rini, telah pun direman selama empat hari bermula semalam sehingga Isnin.

No comments
Post a Comment