Ketua Penerangan MIPP Justin Prabakaran menegaskan bahawa jentera parti itu tetap membantu kempen PN dan Barisan Nasional (BN) khusus calon MIC yang bertanding di Gadek supaya masyarakat India mempunyai wakil dalam DUN dan seterusnya dilantik dalam barisan exco.
Katanya, MIPP sanggup mengetepikan perbezaan politik bagi memastikan kepentingan masyarakat India terus mendapat tempat dalam kerajaan negeri yang bakal dibentuk.
“MIPP akan membantu kempen calon PN dan BN. Walaupun tidak bertanding, kami akan berusaha memastikan kemenangan calon-calon yang kami sokong daripada kedua-dua gabungan,” katanya kepada FMT.
Menurut Justin, Presiden MIPP P Punithan, ahli jawatankuasa pusat dan pimpinan negeri turut hadir pada hari penamaan calon bagi memberikan sokongan kepada calon PAS, Wawasan dan Gerakan.
“MIPP juga sudah memulakan aktiviti kempen bersama calon PN dan BN,” katanya.
Minggu lalu, Punithan berkata MIPP tidak akan menyertai PRN Melaka selepas gagal mencapai persetujuan dengan kepimpinan PN dan parti itu tidak akan menggadaikan prinsipnya semata-mata untuk mendapatkan kerusi dalam pilihan raya 14 Nov ini.
Tegasnya, perjuangan MIPP adalah mempertahankan kepentingan masyarakat India dengan penuh bermaruah dan prinsip, selain suara serta kepentingan masyarakat itu wajar mendapat pengiktirafan dan diwakili dalam landskap politik negara.
Semalam, penganalisis berkata keputusan MIPP itu mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap kegagalan PN melindungi kepentingan parti komponennya.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, tindakan itu juga berisiko mengukuhkan persepsi bahawa PN masih berpihak kepada kepentingan politik Melayu-Islam dan menyerlahkan kekurangan pengaruh parti komponen bukan Melayu PN dalam rundingan pembahagian kerusi dengan BN.
BN meletakkan S Nadarajah sebagai calon di Gadek, menggantikan penyandang VP Shanmugam. Kerusi itu mempunyai kira-kira 17% pengundi India dan menyaksikan saingan empat penjuru pada PRN kali ini.
MIPP tidak meletakkan calon dalam PRN Melaka selepas membuat penampilan sulung pada PRN Johor tahun ini, apabila semua lima calonnya gagal memenangi kerusi dan hilang deposit.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment