NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Melaka: PAS tolak PH, utama kemenangan Melayu Islam



BANGI, 20 RABIULAKHIR — Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menegaskan bahawa parti itu kekal dengan pendirian menolak Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sebaliknya, katanya PAS terbuka untuk mempertimbangkan pelbagai bentuk kerjasama demi memastikan kemenangan kepimpinan Melayu Islam di negeri itu.

​Walaupun tarikh hari pengundian belum diumumkan secara rasmi, katanya jentera parti dan kepimpinan peringkat pusat masih giat meneruskan proses perundingan kerusi secara muafakat.

​”Yang penting, Melaka ialah pimpinan Melayu Islam, pimpin negeri Melaka. Kita tolak Pakatan Harapan,” katanya kepada wartawan selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu, sekaligus memberi laluan kepada PRN diadakan.

​Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberi jaminan bahawa isu perebutan kerusi tidak akan menjadi masalah besar kerana sedang diselesaikan menerusi rundingan secara harmoni.

​Ditanya sasaran kerusi yang akan ditandingi PAS, beliau berkata keputusan masih belum dimuktamadkan kerana perbincangan bersama rakan sekutu masih berjalan.

Mengulas mengenai pendirian parti itu jika kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) diteruskan ketika kekangan penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN), katanya PAS sedia menggunakan lambang ‘bulan’ dalam PRN Melaka.

Menurutnya, langkah itu dilihat sebagai pilihan yang amat wajar dan tidak berdepan sebarang halangan besar.

​”Logo (lambang) PAS pun boleh guna, tak ada masalah,” katanya yang memberitahu bahawa perkara itu masih diteliti.

Persoalan lambang yang akan digunakan timbul susulan keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) menggantung semua kegiatan PN melalui perintah yang dikeluarkan mengikut subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) pada 24 September lalu.

​Ditanya mengenai pimpinan BN negeri yang kelihatan bermain ‘tarik tali’ berhubung hala tuju kerjasama politik, katanya perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pihak terbabit.

​Namun, beliau mendakwa sentimen akar umbi kebanyakan penyokong BN menunjukkan isyarat positif terhadap usaha penyatuan dan kerjasama dengan PAS demi mencapai matlamat utama pilihan raya.

​”Memang saya dapati kebanyakan (penyokong) BN setuju dengan kerjasama bersama PAS… kalau BN nak minta kerjasama itu, kita setuju lah, semuanya melalui perbincangan,” ujarnya. 


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo