Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff mengulas demikian susulan pengumuman bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi Melaka ketika Anthony berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di Ayer Keroh pada 24 Oktober lalu.
Bidasnya, tindakan Setiausaha Agung DAP itu tidak selari dengan pendirian PH sebelum ini ketika mengkritik pengumuman bantuan dan peruntukan pembangunan kerajaan dalam suasana pilihan raya.
Menurutnya, walaupun bantuan tersebut melibatkan pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara serta telah diumumkan dalam Belanjawan 2027, perkara itu tidak menjawab persoalan mengenai kesesuaian tempat dan masa pengumuman dibuat.
“Aku tak pertikaikan hak pemandu teksi untuk terima bantuan. Mereka sememangnya layak dibantu, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Tetapi persoalannya, kenapa umum pemberian bantuan kerajaan atas pentas politik ketika jentera pilihan raya negeri bakal berlaku? Bukankah ini perkara yang dulu dikritik habis-habisan oleh pemimpin PH sendiri?
“Inilah yang dikatakan cakap tak serupa bikin!” tempelak penganalisis politik yang juga Setiausaha Penerangan PAS Pusat itu.
AMK kritik pengumuman peruntukan
Nurul Islam berkata, PH sebelum ini pernah mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung pengumuman projek pembangunan dan pemberian bantuan menjelang pilihan raya kerana dilaporkan mempunyai unsur memancing undi.
Beliau merujuk kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 3 April 2010 yang mengecam tindakan Kerajaan BN mengumumkan beberapa projek pembangunan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor.
Katanya, AMK melalui pemimpinnya ketika itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan Kerajaan BN menggunakan pengumuman peruntukan pembangunan untuk meraih sokongan pengundi.
“Antara perkara yang dibangkitkan ialah pengumuman pembinaan sekolah, peruntukan RM2 juta bagi mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa, Batang Kali serta RM100,000 untuk sebuah masjid di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya, AMK ketika itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai rasuah politik dan membangkitkan persoalan kemungkinan pelanggaran Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Beliau mempersoalkan perbezaan antara pengumuman peruntukan pembangunan yang pernah dikritik ketika itu dengan pengumuman bantuan RM1,000 oleh Anthony Loke pada program politik PH.
Katanya, peruntukan yang diumumkan kerajaan BN ketika itu turut bertujuan menyediakan kemudahan kepada rakyat, namun tetap dipersoalkan kerana dibuat menjelang pilihan raya.
DAP sifatkan beri hamper sebagai rasuah
Nurul Islam turut membangkitkan pendirian DAP pada 29 Mei 2014 ketika PRK Teluk Intan apabila parti itu mempertikaikan BN melakukan rasuah pilihan raya menerusi pemberian hamper makanan kepada kira-kira 100 penduduk.
Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing ketika itu, R Rajiv menyatakan kehadiran calon BN, Mah Siew Keong pada majlis pengagihan hamper berkenaan sebagai satu bentuk rasuah.
DAP turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan terhadap kejadian tersebut.
“Bayangkan, beri hamper makanan kepada penduduk pun dianggap serius untuk dikaitkan dengan rasuah pilihan raya.
“Tetapi hari ini, apabila pemimpin tertinggi DAP sendiri umumkan bantuan RM1,000 di pentas pelancaran jentera pilihan raya, kita diajar untuk terima bahawa semuanya sekadar bantuan kerajaan.
“Apakah prinsip PKR dan DAP berubah lepas dapat kuasa? Atau prinsip itu hanya terpakai ketika mereka jadi pembangkang?” soalnya.
BERSIH persoal penggunaan dana awam
Selain pendirian PKR dan DAP, Nurul Islam turut merujuk bantahan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) terhadap laporan penggunaan dana awam untuk kepentingan politik ketika BN memerintah.
Beliau mengimbas pendirian BERSIH pada 23 Julai 2013 yang mengecam amalan pengumuman bantuan dan peruntukan kerajaan menjelang pilihan raya kerana dikhuatiri memberikan kelebihan politik kepada parti pemerintah.
Menurutnya, BERSIH ketika itu antara pertubuhan yang lantang membangkitkan isu penyalahgunaan sumber kerajaan dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi.
Katanya, prinsip yang diperjuangkan ketika itu adalah jelas, iaitu wang dan sumber kerajaan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk memberikan kelebihan politik kepada mana-mana parti pemerintah.
“Persoalannya, adakah prinsip tu masih terpakai hari ini? Atau adakah semuanya dah berubah apabila mereka kini berada di Putrajaya?” soalnya.
Persoal konsistensi prinsip PH
Nurul Islam menegaskan bahawa pemberian bantuan kepada rakyat bukan suatu kesalahan, namun tindakan menggunakan pentas politik untuk mengumumkan bantuan kerajaan menjelang pilihan raya menimbulkan persoalan mengenai etika dan integriti.
Katanya, Anthony Loke boleh menjelaskan bahawa bantuan RM1,000 itu diberikan kepada penerima di seluruh negara dan bukan khusus kepada pemandu teksi Melaka.
Bagaimanapun, beliau berpandangan penjelasan tersebut tidak menjawab persoalan utama mengenai kewajaran menjadikan program politik parti sebagai tempat mengumumkan bantuan kerajaan.
“Persoalannya bukan semata-mata siapa yang menerima bantuan, tetapi mengapa bantuan kerajaan dijadikan bahan pengumuman dalam program politik parti menjelang pilihan raya.
“Jika dahulu pengumuman pembangunan sekolah dan pemberian hamper makanan boleh dipersoalkan sebagai usaha memancing undi, mengapa hari ini pengumuman RM1,000 di pentas politik tidak boleh dipersoalkan dengan ukuran yang sama?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada PH masih berpegang kepada prinsip yang pernah diperjuangkan ketika berada di blok pembangkang, khususnya berkaitan penggunaan sumber kerajaan untuk mendapatkan sokongan politik.
“Dulu mereka lantang tentang salah guna kuasa. Hari ini, apabila berkuasa, mereka pula yang perlu terlibat dengan perkara yang mereka kritik. Ingat wahai Pakatan Harapan, rakyat sedang memerhati dan rakyat tidak lupa,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment