NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Kedaulatan bukan lesen hantar pulang warga Myanmar berdepan bahaya’ – CENTHRA



  • Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin berkata, kebimbangan terhadap fasa kedua penghantaran pulang 3,524 warga Myanmar bukan berkaitan hak Malaysia mengawal imigresen, sebaliknya risiko yang mungkin dihadapi mereka selepas kembali ke Myanmar.
  • “Persoalan undang-undang yang lebih asas ialah siapa yang dihantar, secara benar-benar sukarela atau tidak, dan apakah risiko yang menanti mereka selepas dipulangkan.
  • “Sukarela mestilah bermakna keputusan yang dibuat tanpa paksaan, selepas individu diberikan maklumat yang mencukupi mengenai keadaan sebenar di Myanmar dan setelah risiko perlindungan dinilai secara individu,” katanya kepada The Merdeka Times

KUALA LUMPUR –  Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin menegaskan Malaysia tidak boleh menggunakan kuasa imigresen sebagai alasan untuk menghantar pulang warga Myanmar yang berdepan risiko penganiayaan atau kemudaratan serius sekiranya kembali ke negara itu.

Menurutnya, kebimbangan terhadap fasa kedua penghantaran pulang 3,524 warga Myanmar bukan berkaitan hak Malaysia mengawal imigresen, sebaliknya risiko yang mungkin dihadapi mereka selepas kembali ke Myanmar.

“Kebimbangan utama bukan pada hak Malaysia mengawal imigresen atau menghantar pulang warga asing yang tidak mempunyai hak untuk tinggal di Malaysia.

“Persoalan undang-undang yang lebih asas ialah siapa yang dihantar, secara benar-benar sukarela atau tidak, dan apakah risiko yang menanti mereka selepas dipulangkan,” katanya kepada The Merdeka Times..

Azril berkata istilah voluntary repatriation juga tidak boleh hanya bergantung kepada persetujuan di atas kertas.

“Sukarela mestilah bermakna keputusan yang dibuat tanpa paksaan, selepas individu diberikan maklumat yang mencukupi mengenai keadaan sebenar di Myanmar dan setelah risiko perlindungan dinilai secara individu,” katanya.

Beliau berkata sekurang-kurangnya lima perkara perlu dipastikan sebelum fasa kedua dilaksanakan, termasuk saringan perlindungan secara individu, pematuhan prinsip non-refoulement, perlindungan kanak-kanak dan golongan rentan, pemantauan selepas kepulangan serta akses sewajarnya kepada UNHCR dan badan perlindungan berkaitan.

Katanya, setiap individu perlu diberi peluang munasabah untuk menyatakan sekiranya mereka takut pulang kerana penganiayaan, konflik bersenjata, ancaman politik, agama, etnik, kerahan tentera atau risiko serius lain.

“Orang yang memerlukan perlindungan tidak wajar dihantar pulang sebelum penilaian tersebut dibuat,” katanya.

Azril turut menegaskan kepentingan pemantauan selepas kepulangan bagi memastikan mereka benar-benar selamat selepas tiba di Myanmar.

“Jika kerajaan menyifatkan proses ini sebagai voluntary repatriation, perlu ada mekanisme bebas untuk mengesahkan bahawa mereka benar-benar tiba dengan selamat, tidak ditahan secara sewenang-wenangnya, tidak dikerah, diseksa atau menjadi mangsa penganiayaan selepas tiba,” katanya.

Beliau berkata fasa pertama pada 29 September lalu membabitkan 1,476 individu, termasuk 27 kanak-kanak, manakala keadaan di Myanmar yang masih berdepan konflik bersenjata dan krisis kemanusiaan menimbulkan persoalan mengenai keselamatan mereka selepas kepulangan.

Beliau berkata kanak-kanak dan golongan rentan perlu dikenal pasti secara khusus, dengan setiap keputusan mengambil kira kepentingan terbaik kanak-kanak, perpaduan keluarga dan risiko perlindungan.

Azril berkata kerajaan memaklumkan 3,524 individu telah dikenal pasti pihak berkuasa Myanmar dan nama mereka dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026.

Menurutnya, pengesahan identiti individu yang disenaraikan pihak berkuasa Myanmar tidak sama dengan penilaian perlindungan terhadap mereka.

“Ini penting, tetapi pengesahan identiti bukan sama dengan penilaian perlindungan,” katanya.

Pada masa sama, Azril menegaskan hak berdaulat Malaysia untuk mengawal sempadan dan imigresen tidak boleh dipisahkan daripada kewajipan melindungi individu daripada kemudaratan serius.

“Kesimpulannya, Malaysia mempunyai hak berdaulat untuk mengawal sempadan dan imigresen. Tetapi kedaulatan bukan lesen untuk melakukan refoulement,” katanya.

“Ujian sebenar ialah sama ada setiap penghantaran pulang dibuat selepas penilaian risiko yang bermakna, persetujuan yang benar-benar sukarela dan tanpa paksaan, perlindungan golongan rentan, serta jaminan bahawa individu tersebut tidak dihantar ke keadaan di mana nyawa, kebebasan atau keselamatan mereka terancam.”

Dalam pada itu, Azril mengakui Malaysia boleh berdepan tekanan besar sekiranya berlaku kemasukan pelarian dalam jumlah yang besar, termasuk terhadap penguatkuasaan imigresen, perumahan, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, keselamatan dan sumber awam.

Namun, katanya, penyelesaian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pilihan menerima semua atau menghantar semua pulang.

“Negara memerlukan dasar yang lebih tersusun: saringan status, pendaftaran, kawalan sempadan, akses terhad tetapi sah kepada pekerjaan dan pendidikan, perkongsian beban dengan UNHCR dan negara ketiga, serta strategi burden-sharing dan responsibility-sharing serantau,” katanya. – The Merdeka Times







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo