- “Kawasan perairan Pelabuhan Klang merupakan lubuk rezeki utama bagi komuniti nelayan setempat. Kenyataan daripada Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang yang mendedahkan gangguan bau yang teruk serta risiko lambakan sisa akibat proses pemindahan haiwan hidup ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh.
- “Apabila sisa daripada proses pembersihan babi hidup ini mengalir ke laut tanpa kawalan yang ketat, dikhuatiri kualiti air laut akan terjejas, ekosistem hidupan marin akan rosak, dan akhirnya hasil tangkapan nelayan dibimbangi akan merosot,” – Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
- Pemuda PAS Selangor turut menuntut penjelasan rasmi kerajaan negeri sama ada aktiviti membawa masuk babi hidup tersebut bercanggah dengan titah Sultan Selangor.
SHAH ALAM — Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) memberi amaran kepada kerajaan negeri supaya tidak memperjudikan nasib dan sumber pendapatan nelayan demi kepentingan komersial susulan kemasukan kira-kira 3,200 ekor babi hidup melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu.
Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, aktiviti pemunggahan haiwan hidup secara besar-besaran itu menimbulkan kebimbangan terhadap risiko pencemaran laut yang boleh menjejaskan ekosistem marin dan hasil tangkapan nelayan tempatan.
“Kami ingin menegaskan dengan lantang, jangan perjudikan nasib, periuk nasi dan kelangsungan hidup para nelayan marhaen demi melindungi kepentingan perniagaan komersial ini!” katanya dalam kenyataan media bertarikh 27 Oktober.
Menurutnya, kebimbangan itu turut dibangkitkan Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang yang mendedahkan gangguan bau teruk serta risiko lambakan sisa daripada proses pemindahan haiwan berkenaan.
Beliau berkata, sekiranya sisa pembersihan babi hidup mengalir ke laut tanpa kawalan ketat, keadaan itu dikhuatiri menjejaskan kualiti air, merosakkan ekosistem marin dan mengurangkan hasil tangkapan nelayan.
Faizzuddin turut menggesa kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, supaya tidak mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sebaliknya menjalankan siasatan tegas serta segera mendedahkan hasilnya kepada rakyat.
Mengulas jaminan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, bahawa prosedur operasi standard (SOP) ketat telah ditetapkan bagi pengendalian ternakan di Pelabuhan Klang, beliau menegaskan kebimbangan nelayan tetap perlu diberi perhatian serius.
Dalam pada itu, Pemuda PAS Selangor turut menuntut penjelasan rasmi kerajaan negeri sama ada aktiviti membawa masuk babi hidup tersebut bercanggah dengan titah Sultan Selangor.
Menurut Faizzuddin, pihaknya memahami bahawa sebelum ini hanya daging babi dibenarkan diimport ke Selangor bagi memenuhi keperluan sebahagian penduduk negeri itu.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan negeri menyatakan pendirian secara jelas berhubung aktiviti berkenaan, selain memastikan kebajikan nelayan tidak terjejas akibat kepentingan perniagaan komersial.-The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment