NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tukar subsidi petrol kepada bantuan keperluan asas, saran pakar


PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menyarankan kerajaan menukar subsidi petrol kepada bentuk bantuan yang lebih mudah disasarkan kepada golongan B20, iaitu kumpulan isi rumah berpendapatan 20% terendah yang hanya mampu memenuhi barangan keperluan asas.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata sekiranya kerajaan tidak mahu lagi memberikan subsidi petrol, wang itu boleh digunakan untuk bantuan makanan dan perubatan, pendidikan anak, dan kediaman B20.

“Mungkin kita beri subsidi dalam bentuk baucar makanan, bantuan persekolahan anak, sewa rumah, atau pakaian sekolah. Itu boleh jadi subsidi lebih bersasar berbanding subsidi petrol,” katanya kepada FMT.

Barjoyai berkata ramai B20 sebenarnya menggunakan perkhidmatan awam dan tidak begitu memerlukan petrol.

“Subsidi petrol tak perlu tonjol sangat seolah B20 tidak boleh hidup tanpa petrol.”

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan memutuskan untuk tidak meneruskan program subsidi petrol (PSP), yang sepatutnya dilaksanakan kira-kira 7 bulan lalu bermula Januari tetapi ditangguhkan.

PSP dirancang untuk memberikan subsidi RM30 sebulan bagi pemilik kereta dan RM12 sebulan bagi pemilik motosikal, ketika penyelarasan harga RON95 akan diapung secara berperingkat.

Barjoyai berpandangan PSP sukar dilaksanakan kerana subsidi petrol masih diberi kepada semua golongan masyarakat melalui sistem sedia ada.

Bagaimanapun, kerajaan masih perlu memikirkan bentuk bantuan bagi B20 dan kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah atau B40, jika harga petrol naik pada masa akan datang, seperti RM2.50 untuk selitar RON95.

“Bantuan Sara Hidup boleh ditingkatkan tetapi ia sebenarnya dalam jangka panjang tidak boleh diteruskan sebab bantuan itu memberi banyak implikasi negatif dan kesan jangka panjang ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Khairul Annuar Abdul Aziz tertanya apakah kerajaan akan memberikan subsidi jika harga petrol naik tinggi.

Katanya, banyak benda asas seperti makanan dan perubatan perlu dibantu, tetapi minyak juga penting selagi diperlukan.

“Sebab orang sekarang lebih ramai membawa kenderaan sendiri berbanding menggunakan perkhidmatan awam,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo