NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Situasi Terkini Palestin : Pelajaran Terbaik Buat Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.



1 Julai 2020 lalu sepatutnya menjadi peristiwa hitam dan duka buat rakyat Palestin terutamanya di Tebing Barat dan Lembah Jordan. Ia sepatutnya menjadi tarikh pengambilalihan regim Israel ke atas wilayah Tebing Barat dan Lembah Jordan di Palestin.

Namun sehingga ke hari ini, masih tidak kelihatan pelan pengambilalihan tersebut dilakukan oleh regim Israel. Pelan tersebut yang mendapat sokongan penuh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sehingga dijadikan kerangka utama dalam pelan perjanjian damai Asia Barat terbaru tajaan Amerika Syarikat.

Penasihat Rumah Putih yang juga arkitek utama pelan damai tersebut, Jared Kushner yang merupakan menantu kepada Donald Trump selama beberapa tahun telah menyempurnakan pelan tersebut bersama Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri regim Israel untuk mengambilalih sepenuhnya wilayah Palestin.

Di samping itu juga, Jared Kushner dan Donald Trump telah berjaya menarik sokongan beberapa negara Arab di Timur Tengah untuk bersama mereka dalam pelan damai tersebut. Maka tidak hairanlah negara - negara Arab tersebut saat ini berlembut dengan Israel dan mengadakan hubungan secara sembunyi dengan regim Israel.

Ketika pelan damai tersebut mula dicanang di Timur Tengah, banyak negara - negara Arab tidak bersetuju dengan pelan tersebut kerana ia akan memecahkan serta mampu melenyapkan Palestin dari peta dunia. Malah boleh dikatakan pelan tersebut akan menjadikan keseluruhan Palestin sebagai Israel.

Setelah dilobi dan dipujuk oleh Donald Trump dan Amerika Syarikat, lama kelamaan penentangan tersebut makin pudar malah ada beberapa negara Arab secara terang - terangan menyokong pelan damai tersebut dan memaksa Palestin serta rakyatnya menerima pelan tersebut.

Namun ketika hampir pada tarikh 1 Julai 2020, mula kelihatan beberapa negara Arab menentang dan mendesak regim Israel dan Amerika Syarikat menangguhkan pelan pengambilalihan tersebut. Ketika itu juga mula kedengaran beberapa negara utama Eropah menentangnya.

Malah PBB turut mula menyuarakan kebimbangan mereka dan menentang pelan pengambilalihan tersebut. Negara - negara di dunia mula menyatakan penentangan terhadap rancangan tersebut dan mendesak regim Israel dan Amerika Syarikat supaya menghentikan rancangan mereka.

Sebelum hampir ke tarikh 1 Julai 2020, fraksi atau kumpulan yang bertelagah di Palestin seperti Fatah, Hamas, Jihad Islam dan beberapa kumpulan kecil lagi seperti biasa tidak bersatu dan berkerjasama serta berjuang untuk membebaskan Palestin mengikut cara masing - masing.

Perseteruan dan pertelagahan ini sebenarnya memudahkan regim Israel untuk terus bermaharajalela, menindas, menzalimi dan merampas tanah milik penduduk Palestin. Lebih banyak kumpulan - kumpulan dipecahkan dan dibiarkan berseteru, sebenarnya lebih mudah untuk regim Israel menjalankan pelan pengambilalihan mereka dan menghancurkan Palestin.

Namun apa yang berlaku ketika hampirnya pada tarikh 1 Julai 2020, kumpulan - kumpulan pejuang Palestin mula sedar akan bahayanya jika Israel mula mengambilalih Tebing Barat dan Lembah Jordan kerana selepas itu, seluruh wilayah Palestin akan jatuh sepenuhnya ke tangan regim Israel.

Di atas kesedaran itulah maka kumpulan - kumpulan pejuang Palestin tersebut mula menyedari bahawa kesatuan dan perpaduan mampu menyekat dan menghentikan agenda jahat regim Israel dan Amerika Syarikat. Dengan kukuhnya kesatuan dan perpaduan, maka akan sukarlah perancangan licik dan jahat regim Israel bersama Amerika Syarikat.

Saat ini baik Fatah, Hamas, Jihad Islam dan beberapa kumpulan kecil pejuang Palestin dilihat seperti bersama - sama menentang pelan pengambilalihan tersebut. Baik di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan Lembah Jordan, kumpulan - kumpulan tersebut dan rakyat Palestin bersama membantah dan keluar ke jalanan memprotes perancangan jahat tersebut.

Saat ini mereka dilihat bersama dalam memperjuangkan isu ini. Walau masih terdapat perbezaan dan keadah perjuangan tersebut, kebersamaan dan muafakat di antara kumpulan - kumpulan pejuang dan rakyat Palestin saat ini membuahkan hasil.

Samada regim Israel menangguhkan duhulu pengambialihan tersebut atau terus melupakan agenda jahat mereka, ia menjadi titik permulaan yang baik kepada rakyat Palestin dan kumpulan - kumpulan tersebut untuk menilai kembali perseteruan dan percakaran sesama mereka samada ia memanfaatkan atau tidak.

Di atas muafakat dan kesatuan inilah yang membuatkan regim Israel berdiam diri dan seolah - olah menangguhkan pelan pengambilalihan mereka. Dengan mendapat kecaman dan kutukan dari seluruh dunia, langkah regim Israel seolah - olah sudah terhenti untuk meneruskan agenda mereka selain dari kerisauan serangan balas yang cukup hebat dari semua kumpulan pejuang Palestin.

Inilah makna kesatuan dan muafakat yang membawa kekuatan kepada umat dan Dunia Islam. Ia bukan sahaja mendekatkan yang jauh tetapi merapatkan kembali jurang perbezaan dan menghindarkan perseteruan dengan Islam dijadikan sebagai asas dan punca kekuatan. Di sinilah yang menjadikan umat dan Dunia Islam bertambah kuat dan berpengaruh.

Apa yang berlaku di Palestin seharusnya dijadikan contoh dan asas yang kuat, baik kepada Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional. Dengan mengukuhkan perpaduan, persaudaraan dan permuafakatan di antara parti - parti politik, ia akan lebih menguatkan lagi kekuatan politik umat Islam dan orang Melayu di dalam negara.

Kemenangan Pakatan Harapan pada PRU yang lalu seharusnya menjadi pengajaran bagaimana lemahnya umat Islam dan orang Melayu di dalam negara ketika itu. Pengajaran yang paling utama adalah bagaimana perpecahan di kalangan umat Islam dan orang Melayu menguntungkan serta memanfaatkan orang lain sehingga hampir menghapuskan kuasa politik umat Islam dan orang Melayu di dalam negara.

Islam diperkotak - katikkan, dipermainkan dan dihina, begitu juga Raja - Raja Melayu termasuk juga orang Melayu. Saat itu juga ramai di kalangan umat Islam dan orang Melayu mula risau akan keadaan semasa dan masa depan mereka. Saat itu juga telah mula timbul kesedaran bahawa perpecahan tidak menguntungkan, membawa makna dan manfaat, ia hanya akan melenyapkan kuasa politk umat Islam dan orang Melayu.

Dengan izin Allah SWT, Perikatan Nasional menjadi Kerajaan Persekutuan dan memerintah negara. Ini bermakna muafakat, kesatuan dan perpaduan memberi banyak manfaat dan faedah kepada umat Islam dan orang Melayu di dalam negara. Bukan hanya berjaya menyatukan ummah tetapi juga berjaya mengembalikan kuasa politk umat Islam dan orang Melayu.

Kejayaan dan kesedaran ini seharusnya dikekalkan dan dijadikan sebagai lambang penyatuan ummah di dalam negara. Ini juga menunjukkan bahawa muafakat membawa keberkatan dan kekuatan kepada umat Islam dan orang Melayu di dalam negara. Jika ia berjaya dikekalkan dengan jayanya, pastinya Islam dan Melayu akan terus kekal dan utuh di dalam negara.

Benar, perjalanan masih jauh dan apa sahaja mampu berlaku dalam dunia politik namun adakah dengan apa yang berlaku di Palestin tidak kita ambil sebagai contoh dan iktibar ianya mungkin berlaku kepada kita jika kita berpecah - belah, berseteru dan bersengketa sepanjang masa ? Jika itu berlaku di Malaysia, ia akan merugikan dan menghancurkan masa depan umat Islam dan orang Melayu di dalam negara selama - lamanya.

Oleh itu ayuh kita sama - sama menjaga permuafakatan, perpaduan, kesatuan dan persaudaraan ini. Bukan hanya ia bermanfaat ketika ini tetapi juga untuk masa depan anak cucu kita. Lebih kuat dan teguh permuafakatan ini, lebih terjaminlah masa depan umat Islam dan orang Melayu di dalam negara.

Buang yang keruh, ambil yang jernih, Yang menjadi titik perseteruan jadikan sempadan, yang bermanfaat dan berguna jadikanlah ia sebagai asas muafakat dan persaudaraan. Jadikan Islam sebagai asas muafakat, persaudaraan dan kekuatan ummah. Semakin dekat kita dengan Islam, selagi itulah adanya jaminan Allah SWT akan kebahagiaan kehidupan samada di dunia mahupun akhirat.

Sama - sama kita pelihara dan mewarnai muafakat, kesatuan dan persaudaraan sesama ummah. Oleh itu kuatkanlah baik Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional. Kuatnya kesatuan ummah bermakna kuatlah kuasa politik umat Islam dan orang Melayu dalam negara.

Semoga Allah SWT Merahmati dan Memberkati Kita Semua.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo