Siri buku ‘Kenapa Babi Tidak Halal?’: Siri 2: Babi Antara Haiwan Yang Disebut Di Dalam Al-Quran


Samhani Ismail, PhD.

Khinzir atau babi juga telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran. Bukan kerana kehebatannya seperti unta atau lebah, bukan juga lantaran manfaatnya kepada manusia, namun lafaz ‘khinzir’ yang bermaksud babi ini telah diulang sebutannya sebanyak 4 kali di dalam Al-Quran. Ayat-ayat yang menyebut mengenai khinzir ini keseluruhannya mengandungi maksud pencegahan daripada Allah bahawasanya ‘khinzir’ atau babi adalah haiwan yang haram diambil manfaat oleh manusia.

Di dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 173, Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi”.

Di dalam Surah Al-Maidah, ayat 3, Allah berfirman:

“Diharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan yang disembelih dengan nama selain Allah. Juga diharamkan ke atasmu haiwan yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati akibat jatuh, yang mati kerana ditanduk lawan dan yang mati kerana menjadi mangsa haiwan buas, kecuali yang sempat kamu sembelih. Juga diharamkan ternakan yang disembelih untuk berhala, dan diharamkan pula kamu mengundi nasib dengan anak panah. Demikian tindakan itu adalah fasik.”
(Surah Al-Maidah, ayat 3)

Di dalam Surah An-Nahlu ayat 115 pula Allah s.w.t berfirman;

“Dia melarang bagimu bangkai, darah, daging babi dan yang disembelih bukan dengan nama Allah. Tetapi orang-orang yang dalam keadaan terpaksa, tidak sengaja hendak membuat kesalahan dan perlanggaran hukum, maka sesungguhNya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah An-Nahlu, ayat 115)

Di dalam surah Al-An’am ayat 145, Allah berfirman;

”Katakanlah hai Muhammad, tidak ada yang aku dapati dalam wahyu yang diturunkan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya semua itu adalah (najis), atau kejahatan yang disembelih bukan dengan nama Allah. Sesiapa yang dalam keadaan terpaksa, tidak ingin melakukan kesalahan dan melanggar hukum, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun dan Maha Penyayang.”
(Surah Al-An’am, ayat 145)

Keempat-empat ayat di atas jelas menunjukkan bahawa haram mengambil manfaat daripada babi. Walaupun belum diketahui sebab-sebab yang pasti ke atas pengharamannya, namun beberapa hikmah haramnya babi telah terungkai dan dikupas di dalam bab-bab di hadapan, insya Allah.

Menurut ilmu Feqah, babi dikategorikan sebagai najis berat (mughallazah). Najis mughallazah adalah najis yang harus dijauhi, dan sekiranya tersentuh dengannya maka individu tersebut perlu menyucikan dirinya daripada kesan-kesan najis tersebut. Perkara ini dijelaskan di dalam bab pertama kitab-kitab feqah iaitu Bab Taharah (Bab Bersuci). Betapa penting istilah suci di dalam Islam sehingga bab bersuci menjadi bab permulaan di dalam kitab Fekah Islam. Bersuci adalah pintu masuk yang membenarkan seseorang individu melakukan amal ibadat khusus seperti solat dan puasa. Malah sebaik-baiknya seluruh kehidupan manusia adalah suci bersih jasmani serta rohaninya. Ini menunjukkan betapa Islam mementingkan kesucian pada umatnya lantaran suci membawa manusia dekat dengan Allah Azzawajalla.

Di dalam bidang Tasauf pula iaitu bidang kerohanian dan hati, bab pertamanya adalah Bab Taubat. Taubat bererti mensucikan hati dengan sentiasa memohon keampunan daripada Allah, serta menjauhkan diri daripada melakukan dosa. Islam sebagai sebuah agama tertinggi menekankan kesucian lahir dan batin kepada setiap umatnya. Kebersihan dan kesucian ini telah dirangka di dalam Islam hingga ke pringkat global, universal dan sebenarnya telah sempurna. Sebutlah aspek apa sekalipun, akhlak, muamalat, akidah, ibadah dan sebagainya, Islam tidak sesekali memisahkan aspek-aspek ini daripada kesucian dan kebersihan.

Allah berfirman yang bermaksud,

“إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
“.. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Al-Baqarah, ayat 222)

FirmanNya lagi,

“Sesungguhnya mendapat kemenanganlah orang yang membersihkan dirinya.”
(Surah Al-A’la, ayat 14)

Sabda Rasulullah s.a.w;
“Bersuci itu sebahagian daripada iman.”
(Riwayat At-Turmuzi dan Muslim)
“Anak kunci solat adalah bersuci.”
(Riwayat Abu Daud dan At-Turmuzi)

Justeru difahami di sini bahawa pengharaman babi adalah untuk memastikan manusia berada di dalam keadaan suci dan bersih samada jasmani dan rohani kerana Islam amat menekankan kebersihan kepada umatnya.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu. Penulis boleh dihubungi di alamat [email protected]

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post