NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sebanyak RM7 bilion selesai masalah air Kelantan


KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan memohon peruntukan RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) daripada kerajaan Persekutuan, bagi menyelesaikan masalah air secara holistik di Kelantan.

Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia membabitkan tiga perkara utama iaitu tebatan banjir termasuk pembinaan empangan baharu, penggantian paip-paip lama yang berusia lebih 40 tahun bagi mengurangkan kehilangan air tidak terhasil, dan naik taraf loji serta projek pembetungan bersepadu.

“Langkah ini diambil selepas mengambil kira kapasiti penduduk yang banyak dan mampu menyelesaikan masalah bekalan air Kelantan, dalam tempoh 30 hingga 40 tahun ke hadapan.

“Menjelang 2030, kita yakin 95 peratus masalah bekalan air dapat diselesaikan di negeri ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri Datuk Azami Mohd Nor dan Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Tuan Ibrahim berkata, penyelesaian masalah air secara holistik ini juga melibatkan punca air, dengan memberi perhatian kepada sumber air sungai atau air permukaan, bagi memberi jalan keluar kepada masalah air di Kelantan.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan mengenai cadangan untuk menangani air laut resapan di tapak pelupusan sampah, bagi mengelakkan pencemaran kepada sistem air bawah tanah dan sungai dan pengurusan air kumbahan bukan najis.

Beliau turut mengumumkan Kelantan akan menjadi tuan rumah buat julung kalinya bagi sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HSAN) peringkat kebangsaan, yang akan diadakan pada Oktober depan.

Sementara itu, Datuk Ahmad Yaakob bagi pihak kerajaan negeri, mengucapkan terima kasih kepada KASA dan kerajaan Persekutuan, yang sangat prihatin kepada Kelantan dalam usaha bersama meningkatkan taraf hidup penduduk di negeri ini.

“Dengan pengisytiharan ini, kita kira ia dapat membantu rakyat Kelantan yang kita tahu sedikit ketinggalan berbanding negeri-negeri lain, dan kita akan mampu setanding dengan mereka selepas ini,” katanya. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo