Sawit punca rezeki bantu pembangunan negara


Oleh Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Sektor perladangan memainkan peranan amat penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia disebabkan negara ini antara pengeksport utama minyak sawit dan getah dunia.

Pokok sawit yang tumbuh subur di tanah ini anugerah Ilahi yang menjadi pemangkin kepada ekonomi negara. Pada 1960-an dan 1970-an, ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada getah dan bijih timah.

Namun, industri sawit dikembangkan secara serius pada penghujung 1970-an dan 1980-an memberikan impak besar kepada kemajuan ekonomi negara yang dapat dirasakan rakyat mulai 1990-an hingga ke hari ini.

Rakyat haruslah mensyukuri nikmat Allah yang menganugerahkan sawit kepada tanah ini. Walaupun berasal dari Afrika, ia dapat tumbuh dengan baik dan subur di Malaysia sehingga memberikan nikmat rezeki dan kesejahteraan kepada negara serta rakyat amnya.

Janganlah gara-gara kerakusan kita terhadap anugerah ini hingga kita lupa tanggungjawab mensyukurinya dan melakukan ketaatan kepada Pencipta agar nikmat kebaikan dan kesejahteraan ini tidak berubah menjadi azab dan musibah kepada kita semua.

Industri sawit Malaysia masih kekal antara sektor yang kukuh dalam membantu mempertahankan kemampanan ekonomi negara.

Sebagai contoh, ketika negara dilanda krisis kewangan 1998, industri itu dengan pendapatan sekitar RM22.5 bilion pada tahun sama, sangat membantu mengatasi krisis ekonomi yang melanda.

Kejatuhan nilai ringgit daripada RM2.50 kepada RM3.80 bagi setiap AS$1 dan sedikit kekurangan pengeluaran sawit menyebabkan harga minyak sawit melambung dan negara mengaut keuntungan besar hasil eksportnya.

Hari ini industri sawit mampu menghasilkan sekitar 20 juta tan minyak sawit mentah (CPO) dengan nilai pasaran sekitar RM72 bilion setahun.

Industri utama negara ini menyumbang RM33 bilion hingga RM43 bilion atau 5 hingga 7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh lapan tahun.

Pada 2018, walaupun pasaran komoditi sawit mengalami kejatuhan, industri ini dapat menyumbangkan RM38 bilion atau sekitar 37 peratus daripada sektor pertanian kepada KDNK.

Jumlah eksport minyak dan produk hasil sawit pada 2018 sekitar RM62 bilion dengan jumlah dagangan eksport minyak sawit 15.35 juta tan. Sebanyak 18 juta tan dicatat pada 2019. Nilai eksport pada 2018 sedikit merosot disebabkan harga komoditi rendah di pasaran dunia.

Justeru, turun naik pasaran komoditi minyak sawit dunia mempunyai kesan dan pengaruh besar terhadap kestabilan ekonomi negara.

Usaha murni Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi memperbaiki hubungan dagang antara India dan Malaysia berjaya menarik minat negara pembeli utama bahan berkenaan untuk kembali membeli minyak sawit Malaysia.

Dijangkakan harga purata minyak sawit Malaysia meningkat ke paras melebihi RM2,500 per tan pada tahun ini.

Di samping itu, pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diperkenalkan kerajaan dengan menurunkan duti eksport minyak sawit Malaysia (MSM) kepada sifar berbanding 4.5 peratus sebelum ini, akan menjadikan minyak sawit lebih kompetitif dan akan meningkatkan permintaan.

Kesan kenaikan harga komoditi dan permintaan MSM ini akan memberikan impak kusyen besar terhadap program pemulihan ekonomi yang terjejas disebabkan wabak COVID-19.

Industri sawit anugerah Allah SWT kepada rakyat Malaysia. Tidak dinafikan industri ini memainkan peranan amat penting dalam mengurangkan kadar kemiskinan dan menaik taraf infrastruktur serta taraf hidup penduduk di luar bandar.

Antara daerah mendapat manfaat langsung ialah Temerloh, Jengka, Keratong dan Bandar Muadzam Shah di Pahang; Segamat, Kluang, Kulai dan Kota Tinggi di Johor; Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan; Lahad Datu, Sandakan dan Tawau di Sabah serta beberapa daerah lagi dalam Perak, Kedah, Selangor, Sarawak serta Negeri Sembilan.

Sangat jelas kemajuan dicapai hari ini dari segi hubungan jalan raya antara kota dan kemudahan asas adalah sangat baik dan memuaskan berbanding era 1970-an dan 1980-an sebelum sawit menjadi komoditi penyumbang utama pendapatan negara.

Bukan itu sahaja, industri ini juga memberikan peluang pekerjaan dan manfaat hampir satu juta orang secara keseluruhan sama ada aktiviti pada peringkat huluan mahupun hiliran termasuk petani, pekebun kecil, pemasaran, perdagangan domestik dan antarabangsa.

Menurut perangkaan Persatuan Pekebun Kecil Kebangsaan (NASH), seramai 650,000 pekebun kecil sawit bergabung di bawah persatuan dan menikmati manfaat besar hasil pembangunan industri sawit di seluruh negara.

Justeru, hari ini terdapat 44 syarikat perladangan tersenarai dengan nilai modal pasaran sekitar RM113 bilion, iaitu berkedudukan kelima di Bursa Malaysia selepas sektor kewangan, telekomunikasi dan media, utiliti dan perkhidmatan lain.

Keberadaan syarikat besar ini bukan sahaja memberikan impak mega kepada peningkatan perekonomian negara, malah menciptakan peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat tempatan.

Penubuhan Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) pada 1979 di bawah Kementerian Perusahaan Utama waktu itu, bertujuan melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) sawit.

Ia sangat bertepatan keperluan memperkasakan industri sawit terutama di sektor hiliran. Institut itu banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan industri, terutama dalam sektor hiliran.

Penubuhan PORIM membuka peluang pekerjaan baharu untuk anak tempatan dalam bidang R&D bagi meningkatkan nilai tambah kepada produk hasil sawit.

Hasil penyelidikan dijalankan di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), industri sawit hari ini tidak hanya tertumpu kepada penanaman dan pemprosesan tandan buah segar kepada minyak mentah sawit.

Kini, ia maju beberapa tapak dengan munculnya industri baharu aliran daripada minyak sawit iaitu industri oleokimia dan biobahan api yang juga membuka peluang baharu pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

***Penulis adalah Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post