PRK N23 Chini: Satu Analisa


Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor.

Rakyat DUN Chini telah memilih Mohd Sharim Md.Zain sebagai ADUN mereka dengan majoriti besar 12,650 undi. Peratusan keluar mengundi sebanyak 73.87 peratus dengan jumlah yang keluar mengundi seramai 15 231 orang. Yang mengundi calon bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tg. Hussin ialah 1222 orang,iaitu dikatakan gambaran kepada penyokong PH,manakala Mohd Shukri Ramli pula sebanyak 137 undi yang diperolehi.


Sakit tuh disini bagi penyokong PH yang masih lena diulit intan serta berselimut dengan "denial syndrome" yang menebal walaupun ini adalah kali keenam berturut BN memenangi PRK . Paling kelakar hujjah bukan PH yang kalah tetapi calon bebas dan PRK ini bukan indikator PRU ke 15.umum mengetahui bahawa calon bebas adalah proksi PH. Semenjak daripada awal kempen PRK Chini Pahang ini serta membaca status-status pemain medsos, juga disukat dengan aura himpunan politik maka momentumnya jelas terpancar BN akan menang besar

Banyak alasan dan faktor mengapa BN menang bergaya dalam PRK kali ini serta isyarat jelas masa depan PH serta kerajaan PN yang kini ditampuk kekuasaan . Pimpinan PH sejak awal memberikan alasan remeh mengapa mereka tidak mahu masuk gelanggang bertarung sedangkan ratib mereka kepada rakyat selama ini " kembalikan mandat rakyat!" .segalanya kosong dan retorik yang memperdaya seperti manis mulut Don Juan sang kasanova terhadap gadis naif!

PERTAMA, Kerakusan untuk bertakhta kembali di Putrajaya serta mempertahankan pengaruh PH maka kelompok ini berperang sesama sendiri menamakan Perdana Menteri, samada Mahathir,Anwar mahu pun Shafie Afdal. Rakyat sedang digodam dengan kesusahan pandemik kovid 19, namun kelompok pencandu kuasa ini berantakan adu kuasa sehingga sangat menjengkelkan rakyat terbanyak.

Faktor KEDUA, pemimpin PH sedang berada pada mood dan kedudukan politik yang terendah termasuk siasatan SPRM seperti kes terowong dasar laut di Pulau Pinang. Tanpa kuasa di Persekutuan kelihatan PH sangat lemah dan sentiasa tertampar malu. Panglima-panglima PH yang kelihatan sering bercanggah pendapat dimedia sosial diperhatikan oleh netizen dan sering menjadi "punching bag" netizen yang kelihatan menyokong kepimpinan kerajaan PN.

Faktor KETIGA, PRK Chini berlangsung dalam kehangatan isu pertembungan dalaman PKR yang tak mampu disembunyikan, lihatlah isu pemecatan kepada pemimpin wanita PKR di Selangor Haniza Talha , juga ribuan penyokong PKR yang keluar parti daripada pelbagai tempat. Ianya manifestasi kelemahan pengurusan organisasi serta masalah intriq dan polemik dalaman yang tak terbendung. ADUN Sungai Acheh Pulau Pinang juga keluar parti bersama penyokongnya kerana hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan. Sebahagian besar pendokong PKR beralih kepada team Azmin Ali dan Zuraida, lihat juga peranan kelompok Chegu Bard yang tidak lagi bersama arus perdana PKR

Faktor KEEMPAT, Umno dan PAS (Muafakat Nasional) terus mengukuhkan tapak persamaan walaupun sejarahnya puluhan tahun mereka bertembung. Pahang ialah negeri yang paling damai proses pemuafakatan , kedua parti menghantar petugas menyantuni pengundi-pengundi Chini. Imej berpakat, bersatu padu sesama ummah ini menghantar impak besar kepada orang Melayu yang dominan di kawasan Chini.

Penyokong PAS diseru menyolong calon BN dan mengenepikan sentimen lama pertembungan ,mengambil jalan bertolak ansur untuk kemenangan jangka panjang iaitu memenangi PRU 15. Keistimewaan kedua parti lama ini ialah orientasi dan pola kepatuhan pengikut mereka kepada arahan kepimpinan. Penyokong PAS paling terkesan kerana parti lebai ini paling teruk dihentam oleh penyokong PH dialam siber berbanding calon BN , Mohd Sharim Md Zain itu sendiri.

Faktor KELIMA ialah masyarakat Chini juga terkesan dengan ketidakcekapan PH dalam pemerintahan selama 22 bulan. Dominasi dap dalam PH menghantui orang Melayu dan rasa bimbang ini berjaya dimanipulasi dengan bergaya oleh jentera BN. Pemuafakatan kerajaan PN dengan berjaya meminggirkan dap sangat menceriakan nurani orang Melayu. Insentif demi insentif disepanjang musim pandemik ini telah berjaya menawan hati rakyat terutama yang tinggal diluar bandar seperti Chini . Jajaran FELDA yang merupakan kubu tradisi BN semakin memudahkan jalan kemenangan calon PRK bagi Chini.

Era pemerintahan PH selama 22 bulan selain isu ketegangan kaum serta kerapuhan komunal , rakyat kita juga mahu kerajaan PN bertindak jelas agar ekonomi negara perlu direjuvenasi dengan pantas. Nilai ringgit yang merudum, kemerosotan FDI negara ini berbanding negara jiran serta isu peluang pekerjaan yang diragut oleh pendatang asing. Tindakan tegas kerajaan PN mutakhir ini terhadap PATI sangat menggembirakan rakyat serta usaha membaiki kerosakan yang dilakukan sepanjang 22 bulan kerajaan PH.


Kelompok anak muda paling terjejas dengan kegagalan kerajaan PH, terasa dikencingi manifesto, kekurangan peluang pekerjaan, kos sara hidup yang mencanak, terasa dibodohkan oleh dasar-dasar kerajaan yang mesra cukong berbanding rakyat jembel.

Faktor Keenam ialah Undi penyokong PAS adalah "disedekahkan "kepada calon BN serta kekompakan jentera PAS yang datang daripada seluruh negara. Walaupun tidak hangat bahkan seolah menjadi wisata PRK , solidariti kepada calon BN oleh jentera PAS memberikan kesan yang baik. Lebih empat ribu undi penyokong PAS dengan mudah beralih kepada calon BN dalam PRK ini.


Faktor ketujuh, BN menang cemerlang kali ini kerana rangkaian sinergi dan muafakat yang kukuh diantara parti-parti kerajaan dan jaringan sivil. Kempen yang berfokus , simpati rakyat dengan kegigihan jentera kempen dalam musim pandemik, malah populariti terhadap DS Najib Razak dinegeri Pahang, orientasi program kempen yang bersifat kebajikan dan kemasyarakatan musim pandemik antara menyumbang kepada keberkesanan kempen N23 Chini.

KESIMPULANNYA, PRK N23 Chini akan merencahkan formula pertahankan kemenangan untuk terus menguasai pemerintahan negara pada PRU 15. Dalam persaingan politik jangka panjang sistem dua blok parti , semua pertimbangan risiko perlu diambil kira dan diperhitungkan.

Unjuran strategik dan kerjasama berdasarkan realiti semasa untuk mengambil alih pemerintahan Malaysia wajar dilihat juga komposisi demografi negara ini. Agihan kerusi pra PRU 15 mestilah adil dan seimbang untuk mengelakkan perpecahan , juga calon Perdana Menteri yang mendapat dokongan majoriti parti-parti kerajaan . Muafakat Nasional wajib merengkuh sokongan rakyat terbanyak dengan politik idea dan keteladanan.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post