Pilihan Raya PBT bazirkan wang rakyat


oleh: Dr Fathi

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memaklumkan kepada sidang Parlimen pada 14 Julai 2020, bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih meneruskan hasrat melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Beliau memaklumkan bahawa pihak kementerian masih dalam penyediaan kertas Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu. Beliau menetapkan sasaran untuk membentangkan usul pilihan raya kerajaan tempatan dalam sidang Dewan Rakyat, pada pertengahan 2021.

Buat masa ini tidak ada satu asas kukuh yang dapat menyokong alasan bagi cadangan menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan. Apa yang pasti, pilihan raya ini akan banyak membazirkan wang rakyat. Beliau sendiri menyebut bahawa pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan dijangka menelan kos sebanyak RM2 juta bagi setiap PBT dan RM308 juta secara keseluruhannya yang merangkumi 154 PBT.

Kos yang disebutkan ini adalah kos yang sangat minima. Dipercayai kos sebenar jauh lebih tinggi. Tambahan pula kos yang dijangkakan itu belum mengambilkira aspek perbelanjaan yang ditanggung oleh parti-parti dan calon-calon yang bertanding.

Dalam keadaan negara yang terpaksa melaksanakan langkah perbelanjaan yang berheat akibat wabak Covid-19 ini, cadangan yang berteraskan komitmen parti tertentu dalam Pakatan Harapan itu wajar digugurkan, atau sekurang-kurangnya ditangguhkan. Ironinya, cadangan ini pernah ditolak oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sewaktu memimpin kerajaan Pakatan Harapan.

Pilihan raya kerajaan tempatan, jika diadakan akan melemahkan fungsi dan kuasa kerajaan negeri. Bahkan di beberapa negeri, tidak mustahil akan berlaku pentadbiran kerajaan tempatan di ibu negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri. Dalam keadaan sistem federalisme yang mengehadkan kuasa kerajaan negeri kepada skop kuasa yang sedia terhad, kehilangan kuasa langsung ke atas kerajaan tempatan akan melemahkan kerajaan negeri.

Selain itu, jika pilihan raya kerajaan tempatan diadakan, timbul persoalan berkaitan siapakah sebenarnya yang layak mengundi. Jika kelayakan mengundi hanya diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan dalam sempadan sesuatu kerajaan tempatan, ia merupakan diskriminasi kepada ‘penduduk siang’ iaitu mereka yang datang dari luar, tetapi bekerja di kawasan berkenaan. ‘Penduduk siang’ ini hakikatnya banyak memberikan sumbangan kepada kemakmuran sesuatu kerajaan tempatan, dan akan menerima kesan langsung akibat pembangunan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan.

Ringkasnya, tidak ada manfaat yang jelas untuk diteruskan cadangan pilihan raya kerajaan tempatan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepatutnya menumpukan usaha untuk membantu dan membimbing usaha untuk meningkatkan kecekapan PBT dari pelbagai sudut termasuklah dalam pengurusan jalanraya, tempat awam dan pengurusan sisa pepejal. Kementarian juga perlu memandang serius soal ketidakseimbangan antara PBT dari sudut sumber kewangan dan kekuatan jentera.

Usaha-usaha ini boleh dilaksanakan tanpa perlu diadakan pilihan raya PBT yang tentunya akan mengorbankan banyak wang rakyat.

15 JULAI 2020

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post