NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pilihan raya negeri? Sidang media Shafie dijadualkan jam 10 pagi ini


Ketua menteri Sabah, Shafie Apdal telah dijadual akan mengadakan sidang akhbar jam 10 pagi ini, dipercayai berkaitan  hasil pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Juhar Mahiruddin pada malam tadi.

Menurut sumber, pertemuan di Istana Negeri Sabah di Kota Kinabalu itu meliputi perbincangan mengenai kemungkinan pembubaran Dun bagi diadakan pilihan raya negeri.

Pertemuan itu berlangsung hanya beberapa jam selepas bekas ketua menteri, Musa Aman mengumumkan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti daripada Anggota Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan yang baharu.

Sumber memberitahu 1Media bahawa pertemuan diantara Shafie dengan Juhar berlangsung selama hampir tiga jam. Shafie juga turut dilihat meninggalkan istana negeri sekitar jam 11 malam tadi. 

Semalam, Musa Aman, yang juga merupakan Adun Sibuga, mengadakan sidang media dan beliau mendakwa memperolehi Akuan Bersumpah (SD) daripada Adun yang menyokongnya. Walau bagaimanapun tidak menyatakan jumlahnya.

Beliau turut mendakwa telah  diperintahkan oleh Yang di-Pertua Negeri untuk menyerahkan SD tersebut. Namun, sehingga tengah malam tadi, tidak dapat dipastikan sama ada Musa berjaya menghadap Yang di-Pertua Negeri.

Sehingga sekarang masih belum dapat dipastikan apa keputusan yang dicapai dalam pertemuan itu.

Namun pembantu kepada Shafie Apdal telah mengundang pihak media untuk menghadiri sidang media di pusat pentadbiran negeri di Kota Kinabalu, yang dijadualkan berlangsung pada pukul 10 pagi hari ini.

Dun Sabah terdiri daripada 60 kerusi wakil rakyat di mana lima daripada Adun berkenaan merupakan kerusi Adun dilantik. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo