NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengurusan ibadah korban yang telus


BANYAK hadis yang menyatakan tentang kelebihan ibadah korban. Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai ALLAH melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan ALLAH memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dengan kelebihan yang ada pada ibadah korban ini, ramai umat Islam yang berusaha untuk melaksanakannya baik di tempat sendiri atau di tempat lain termasuk di luar negara.

Selepas bulan Syawal, kita biasanya akan dapat lihat banyak iklan daripada pelbagai pihak yang menawarkan khidmat untuk mengurus ibadah korban. Tidak dinafikan ia merupakan satu khidmat yang memang diperlukan oleh umat Islam pada hari ini.

Satu yang perlu diketahui oleh pihak yang menguruskan korban dan juga peserta korban ialah kontrak yang terlibat antara mereka adalah kontrak wakalah. Ini bermakna para peserta korban mewakilkan pihak lain seperti pihak masjid, agensi dan persatuan untuk melakukan korban bagi pihak mereka.

Kejelasan akad amat penting diberi perhatian supaya apa yang dilakukan itu selari dengan ajaran Islam. Antara perkara yang tidak dinyatakan secara jelas dalam bab pengurusan ibadah korban ini ialah berkaitan dengan harga sebenar satu bahagian korban dan kadar upah. Boleh dikatakan kebanyakan iklan tidak menyebut tentang perkara ini melainkan hanya dinyatakan harga satu bahagian korban.

Dalam Islam, wakalah ini boleh dibuat tanpa upah dan juga beserta upah. Saya yakin semua pihak yang menawarkan khidmat mengurus ibadah korban pada hari ini memang mengambil sebahagian bayaran yang dibuat oleh peserta sebagai upah. Malangnya, kadar upah yang diambil tidak diberitahu kepada peserta. Mereka berpada dengan iklan umum dengan menyatakan berapa harga bagi satu bahagian korban.

Jika sekiranya pemakluman tentang harga sebenar satu bahagian korban dan kadar upah yang diambil tidak dilakukan sehingga selesai penyembelihan binatang korban dilakukan, akad wakalah tersebut mengandungi unsur gharar (ketidakpastian). Gharar yang berlaku adalah gharar yang banyak (fahisy) kerana melibatkan ketidakjelasan harga binatang korban dan upah yang diambil. Gharar seumpama ini dilarang dalam Islam dan menjejaskan kesahihan akad.

Sebenarnya pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengeluarkan satu garis panduan berhubung pelaksanaan ibadah korban iaitu Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban Bil 2 Tahun 2013.

Dalam Garis Panduan tersebut dinyatakan bahawa pihak yang mengurus ibadah korban dalam negara hendaklah menjelaskan perkara-perkara berikut:

i.Urusan jual beli seperti akad, jenis haiwan qurban dan fizikal haiwan yang cukup syarat

ii.Kadar harga bagi satu bahagian qurban yang ditawarkan oleh syarikat atau persatuan

iii.Kadar kos pengurusan (upah) yang diambil

iv.Cara pengagihan dan penerimaan daging qurban.

Dalam Garis Panduan tersebut juga diberikan contoh-contoh lafaz wakalah yang boleh digunakan oleh peserta yang hendak mewakilkan ibadah korban kepada pihak lain.

Akhir kalam, saya memohon kepada pihak yang menguruskan ibadah korban mengambil berat tentang kaedah yang betul dalam menguruskan ibadah korban dan mereka hendaklah telus dalam hal ini. Para peserta korban juga perlu ambil tahu kaedah yang betul mewakilkan pihak lain untuk menguruskan ibadah korban mereka agar ibadah yang dilakukan itu sempurna dan diterima ALLAH. Wallahu a’lam.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/93514/KOLUMNIS/Pengurusan-ibadah-korban-yang-telus

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo