Nasib Rakyat Terbiar Dalam Kemelut Perebutan Kuasa Pemimpin Politik

1.      Kemelut politik negara semakin berada dalam keadaan yang berserabut dan tidak ketentuan. Perebutan kuasa yang sentiasa menjadi agenda utama parti-parti politik telah menyebabkan 
pemimpin-pemimpin tidak lagi memikirkan agenda rakyat, apatah lagi bersuara mengenai nasib mereka.

2.      Samada dalam Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, keutamaan adalah untuk bermain politik dalam menentukan siapa yang berkuasa dan mendapat tempat. Seorang ahli politik veteran pernah memberitahu saya politik negara sekarang adalah ‘politik gila’, bukan politik dinamik.

3.      Dalam masa rakyat sedang menderita mengenai kenaikan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan, peluang pendidikan, ancaman Covid-19 serta pelbagai masalah, pemimpin negara bertelagah mengenai pengaruh dan kuasa antara mereka.

4.      Malah terbawa-bawa dalam sesi parlimen sekarang dimana banyak masa perbincangan dihabiskan untuk bertelagah mengenai siapa yang paling berjasa dan berbuat sesuatu masa mereka berkuasa. Ungkit mengungkit tentang jasa atau apa yang mereka lakukan, adalah seperti kebudak-budakan.

5.      Sepatutnya sesi parlimen dijadikan medan perdebatan membina untuk memperjuangkan nasib rakyat dan halatuju pembangunan negara. Bagaimana kita hendak keluar dari kemelut ekonomi dan politik sekarang? Bagaimana kita hendak memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat melalui konsep watan yang berdasarkan perlembagaan?

6.      Agenda besar perlu ada baik pada parti yang memerintah pada hari ini dan sekurang-kurangnya di ‘complement’ melalui semak dan imbang parti pembangkang. Malah lebih baik kalau parti pembangkang sendiri boleh mengemukakan idea-idea bernas untuk parti pemerintah memikir dan melakasanakannya. Adalah membuang masa dan memualkan jika asyik ungkit-mengungkit dan mendabik dada mengatakan itu dan ini, adalah idea-idea masing seolah-olah menjadi ‘trademark’ atau ‘patent’ sendiri. Sepatutnya, wakil-wakil rakyat ini memakai topi negarawan dan bukan haiwan politik.

7.      Sudah sampai masanya rakyat ingin melihat perancangan besar dan agenda untuk negara dari pemerintah. Apakah kita akan berada dalam keadaan seperti ini selama-lamanya? Jika tiada tindakan segera yang bermula dari perancangan besar kerajaan, maka kita tidak akan ke mana.

8.      Demi masa depan rakyat dan negara, BERJASA mencadangkan pihak pemerintah membentangkan agenda besar mereka terutama dalam merangka tamadun atau peradaban tersendiri bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang semua rakyatnya boleh mengecapi kebahagiaan dan kesempurnaan hidup yang diimpikan.

9.      Tidak ada gunanya kita berpaut pada sejarah lalu yang mana Malaysia pernah berada dalam keadaan ekonomi yang hebat, pemimpin rantau Asean, contoh negara Islam, tetapi rakyat menderita dan tidak merasai kemakmuran negara yang menjadi kecemburuan banyak warga negara luar. Negara kita kaya dengan sumber alam dan asli serta negara yang terselamat dari pelbagai bencana besar seperti gempa bumi dan gunung berapi, serta rakyat berbilang kaum yang hidup dengan harmoni. Apakah yang telah dilakukan oleh mereka yang memegang kuasa selama ini untuk memenafaatkan semua sumber dan keadaan tersebut?

Dr Badhrulhisham Abd Aziz
Presiden BERJASA
-------------------------------------------

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi 1Media

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post