NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Masjid Hagia Sofea Sebagai Mercu Tanda Kebangkitan Islam Turki.


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Sporadik!, dengan pantas ditular video dan gambar-gambar masjid Aya Sofea yang kini dikembalikan fungsinya sebagai masjid. Masjid indah dan ikonik ini berada ditengah jantung kota Istanbul , terlihat elegan dengan bayu laut Marmara dan juga Selat Bhosforus yang mendamaikan. Bangunan yang diwartakan sebagai tapak warisan oleh UNESCO ini melalui sejarah panjang , seribu tahun sebagai gereja bermula dizaman Byzantine dan pada tahun 1453 dijadikan masjid oleh Sultan Muhammad alFateh. Baginda melakukan modifikasi seperti dibina empat menara masjid, mewujudkan mimbar dan mihrab serta ditampal bahagian dalam dinding yang asalnya lukisan bertema kristianiti.

Hagia Sofea atau masjid Aya Sofia menjadi tarikan pesona terbesar kepada pelancong, juga kerana masjid ini yang bertukar menjadi muzium dizaman Mustapha Kamal ,bapa sekular Turki pada tahun 1934. Fungsi masjid -masjid diseluruh Turki telah dilumpuhkan dizaman pembaratan oleh Mustapha termasuk penutupan sekolah Imam dan Khatib. Turki yang dibanggakan oleh umat Islam kerana jasanya menjaga wilayah Islam terkuras sedikit demi sedikit roh Islamnya dizaman Mustapha Kamal . Kelicikan dan kebencian kelompok Yahudi dan pengkagum Barat ini juga telah melumpuhkan masjid Aya Sofia yang dimarahkan selama 500 tahun.

Laungan azan yang menggema dimenara masjid sempena pembukaan kembali masjid Aya Sofea juga telah menumpahkan airmata ribuan insan yang menjadi saksi hidup sejarah panjang pergulatan Islam dan sekular di Turki. Laungan azan yang luput daripada menara Aya Sofea semenjak 87 tahun lampau maka kegembiraan umat Islam tak mampu disembunyikan .

Ummat Islam meraikan dengan penuh kegembiraan peristiwa bersejarah ini walaupun daripada sisi lain, tindakan Erdogan telah mengundang rasa tidak puas hati dunia Barat. Kekalutan dan kegawatan politik Asia Barat serta pandemik kovid 19, sehingga kita terlupa kisah tragis umat Islam yang kehilangan mercutanda sejarah Uthmaniah sehingga dicatur oleh kuasa Barat, terpencar dan hilang kekuatan tanpa Islam. 96 tahun lalu saat kuasa besar,empayar Pax Britanica mengakar dan munjulang kesombongan dengan menjarah sebahagian besar dunia, kerajaan Islam yang berjasa besar ini ,lebih 600 tahun memayungi bumi umat Islam akhirnya tumbang.

Ramai yang tidak menyedari bahawa peranan Aya Sofea sebagai masjid dimatikan oleh puak sekular ,bahkan melihat masjid ini tidak lain semata-mata produk pelancongan yang menjana ekonomi negara. Masjid Aya Sofea ialah sejarah pilu ummah, akibat runtuhnya sebuah kerajaan Islam yang telah memayungi sarwajagat dunia Islam termasuk alam Melayu. Kerajaan Islam yang berpusat di Turki itu melingkar jauh kekuasaannya sehinggalah ke Balkan di Eropah. Slogan " dimana adanya laungan azan,maka disitulah tanahair kami" akhirnya menjadi sejarah pilu ummah.

Kehebatan kerajaan Uthmaniah mula semakin lemah diakibatkan oleh perancangan jahat orang-orang Yahudi Dunnama, di mana mereka ini telah memeluk Islam dengan niat untuk menghancurkan Islam daripada dalam (gunting dalam lipatan). Golongan Yahudi juga telah menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Turki. Kemuncak perancangan mereka golongan Yahudi merancang untuk menghancurkan Khilafah Islam. Golongan Yahudi antarabangsa melalui gerakan Freemason yang menguasai media massa telah menonjolkan Mustafa Kamal. Media massa juga telah memainkan peranan penting memburukkan kerajaan Uthmaniah Turki terutama kecacatan peribadi Khilafah yang bergelumang dengan keseronokan. Di Turki, telah ditubuhkan "The Young Turks" pada tahun 1908 gerakan Yahudi ini digerakkan dengan bantuan Freemason. Golongan ini sangat agresif untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II.

Di negara-negara Arab lain pula semangat Nasionalisme Arab telah ditiupkan dengan menganggap kerajaan Turki sebagai penjajah. Negara Barat berusaha meniupkan semangat negara bangsa kepada negara-negara Arab, melalui semangat Nasionalisme Arab inilah Turki mahu dipisahkan daripada saudara-saudara Islam lainnya di seluruh dunia. Perancangan keji Yahudi ini akhirnya berjaya meruntuhkan khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Mustafa Kamal telah naik ke takhta kuasa dan mula menunjukkan kebenciannya kepada Islam dan orang-orang beriman.

Kejatuhan Islam yang telah memayungi umat selama 600 tahun lebih ini akhirnya telah mewajahkan dunia Islam yang baru, kemunculan negara bangsa akibat pemetaan baru dunia Islam dengan arkitek utamanya ialah empayar Pax Britanica dan Peranchis. Negara umat Islam juga telah difaraidkan dan menuju titik kelemahan paling parah dengan pelebaran faham ilmaniah atau sekularisme. Umat Islam dijajah dan mengalami keterpurukan nilai serta tersudut dalam semua sektorsehingga memunculkan faham pan islamisme untuk mendobrak hegemoni Barat.

Turki dan umat Islam berterimakasih kepada pemuka ummat seperti Sheikh Badiuzzaman Said Nursi, Adnan Manderes, Prof. Najmuddin Erbakan, Erdogan dan lain-lain. Tidak lupa wadah ummat seperti Jamaah an Nur, Milli Guruz, Milli Salamat, Parti Refah, Parti Fazilet, AKP, Saadet Party dan gerakan swadaya Islam yang lain.

Masjid Aya Sofea adalah sejarah luka umat Islam pasca kejatuhan khilafah dan ianya telah kembali sembuh dengan ummah kembali berjuang untuk mengembalikan ketuanan Islam. Islam yang berdaulat, negara yang mendokong Syariat serta menjadi pembenteng kepada agama Allah sebagaimana yang telah dilakarkan dalam sejarah Khilafah Uthmaniah. Moga ummah Islam kembali bersatu ,mendobrak jahiliah moden dan menjulang Syariah.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat,Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo