NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kezaliman Zionis ke atas Palestin terus dibutakan dunia


KEMATIAN George Floyd akibat tindakan polis di Amerika Syarikat (AS) membangkitkan slogan Black Lives Matter di seluruh dunia. Kononnya di negara termaju di dunia itu, masih berlaku saki-baki amalan perkauman berdasarkan ras dan warna kulit.

Sementara ribuan kilometer di Asia Barat, sebuah negara haram dikenali Israel terus-menerus menceroboh tanah bukan miliknya. Alasannya mudah, kerana pemilik tanah itu bukan berbangsa Yahudi, seperti Arab.

Oleh kerana kawasan itu kononnya diserahkan kepada bangsa Yahudi, maka mereka berhak menceroboh dan merampas pemilikan tanah bukan Yahudi.

Pengilhakan (pengambilalihan wilayah sesebuah negara berdaulat secara paksa) adalah produk penjajahan.

Siapa sangka pada abad ke-21, penjajahan masih berlaku di negara moden. Antara pengilhakan moden pernah dicatatkan pada era pasca kolonialisme ialah pencerobohan Iraq ke atas Kuwait (1975) dan Russia ke atas Crimea (2014). Tetapi ia tidak berlarutan lama.

Hasrat pengilhakan terbaru Israel ke atas Baitulmaqdis didendangkan kembali oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika kempen pilihan raya tahun lalu.

Pada April 2019, beliau menabur janji membuat pengilhakan tanah orang Arab di Tebing Barat Palestin untuk dijadikan penempatan haram Yahudi.

Sementara pada September pula, Netanyahu berjanji mengilhak Lembah Jordan, Palestin berdekatan sempadan Jordan. Kawasan itu sahaja mempunyai keluasan satu pertiga keseluruhan Tebing Barat.

Dengan sokongan Presiden Donald Trump, yang disifatkan rakan terhebat dari White House, Netanyahu cuba melaksanakan pelan pengilhakan pada 2020.

Berbekalkan pelan damai Israel-Palestin tajaan Trump, kemudian dipacu hasrat AS memindahkan kedutaan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, hakikat sebenar daripada tindakan ini ialah untuk memusnahkan negara berdaulat Palestin.

Hakikatnya, inilah sejarah penjajahan dan pengilhakan terpanjang dalam sejarah moden. Walaupun secara dokumentasinya, ia bermula 53 tahun lalu, sejarah keganasan kumpulan pelampau kanan Zionis, seperti Haganah, Irgun Etzel dan Lehi menjelang pengunduran British pada 1948 tidak boleh dilupakan.

Sejarah tidak pernah lupa serangan berani mati pelampau Yahudi ke atas orang Arab Palestin. Begitu juga serangan gerila tidak berperikemanusiaan ke atas perkampungan tradisi Arab seperti di Deir Yassin (1948).

Hakikatnya, Israel diiktiraf masyarakat dunia sekarang, dibangunkan atas tanah orang Arab yang dibunuh kejam pelampau Zionis.

Mujur, Malaysia negara yang waras dan menolak negara ditubuhkan atas dasar perkauman ini. Pendirian negara untuk tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel jelas, bahkan tercatat dalam pasport sah digunakan di seluruh dunia kecuali Israel.

Selepas Parti Likud menang majoriti mudah dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan perpaduan, Netanyahu terus membuat kenyataan akan membincangkan pelan pengilhakan dalam Kabinet Israel seawal Julai lagi.

Sekiranya pelan ini dilaksanakan, maka usaha perdamaian Palestin dan Israel akan kekal menemui jalan buntu.

Ribuan penduduk tempatan Palestin termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas yang tidak berdosa, akan menjadi pelarian, hilang tempat tinggal.

Hubungan diplomatik dengan Jordan pula akan diperjudikan.

Sedangkan dalam masa sama, banyak lagi permasalahan dasar di rantau ini masih belum diselesaikan. Isu penempatan haram Yahudi atas perkampungan Palestin sedia ada, larangan warga Palestin sama ada yang berstatus warganegara atau pelarian untuk kembali ke negara mereka dan juga kawalan keselamatan di kawasan strategik, menghambat proses perdamaian ke arah mewujudkan solusi dua negara berjiran.

Sesungguhnya, cubaan terbaru mengilhak wilayah Palestin adalah inisiatif aparteid moden. Ia jelas bercanggah undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malangnya kezaliman ini terus dibutakan daripada simpati masyarakat dunia. Siapa sangka dasar perkauman yang nyata masih lagi berleluasa di zaman moden ini?

Ketua Program Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo