NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hina Jawi: Sikap netizen Cina ‘cukup dajal, bukan biadab lagi’ – Prof Datuk Dr Teo Kok Seong


BANGI, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Semua pihak sepatutnya mengalu-alukan keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai tindakan bijak bagi terus memartabatkan tulisan Jawi yang didapati ‘kesepian’ sejak akhir-akhir ini meskipun mendapat bantahan dari GERAKAN serta reaksi negatif dalam kalangan netizen Cina.

Kok Seong berpandangan, tindak balas masyarakat bukan Melayu terutama orang Cina mengaitkan tulisan Jawi dengan agama Islam sebagai tidak berasas.

“Sementara tindakan GERAKAN pula lebih kepada meraih sokongan. Parti itu dilihat juara memperjuangkan kepentingan Cina yang menentang tulisan Jawi ini. Ia lebih kepada tindakan politik yang dilihat sebagai pelindung kepada masyarakat Cina,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Jabatan Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan, Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dalam usaha mengekalkan dan memperkasakan tradisi serta budaya yang membentuk Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu disokong penuh oleh semua jemaah menteri dalam mesyuarat pada Rabu.

Namun seperti dijangka, usaha kerajaan memartabatkan tulisan Jawi sebagai warisan Malaysia yang perlu dipelihara menerima tentangan dalam kalangan netizen Cina di negara ini.

Bukan hanya dikritik, bahkan inisiatif yang dilaksanakan Dr Zulkifli turut dihina dan diperlekeh oleh mereka, yang rata-ratanya ‘panas’ dengan usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat sehingga ada yang mengajak orang Melayu makan daging babi pada hari Jumaat.

Menempelak komen netizen itu, Kok Seong berkata, walaupun ini negara demokratik, bantahan yang ingin disuarakan mesti dilakukan dengan penuh adab sesuai dengan lima prinsip Rukun Negara.

“Kalau kita tengok bantahan itu tersasar jauh. Kalaulah tulisan Jawi itu menjadi masalah, maka kita berhujah dari segi lebih berfakta, bukan kita sasar dengan cadangan balas begitu dan tidak ambil kira sensitiviti pihak lain.

“Tidak suka tulisan Jawi dengan memberi cadangan akan mengadakan jamuan babi, sambil minum arak dan menulis Jawi, ini cukup ‘dajal’ bukan biadab lagi pertamanya boleh mengundang konflik antara kaum,” tegas beliau.

Membidas lagi, Kok Seong berkata, golongan berkenaan ‘mencari penyakit’ yang boleh mengakibatkan hubungan etnik semakin keruh dan lebih teruk lagi mengundang konflik terbuka.

“Ini sesuatu yang sensitif. Hari Jumaat itu bagi orang Islam penghulu segala hari, hari yang penuh dengan keberkatan dan sebagainya. Pilih hari Jumaat sebagai hari makan babi, ‘taboo’ kepada orang Melayu, jadi ini sungguh berbahaya.

“Justeru, saya harap pemimpin Cina tidak kira parti mana membuat kenyataan mengutuk tindakan segelintir masyarakat Cina ini. Tindakan perlu diambil, ini sangat berbahaya menyentuh sensitiviti Melayu.

“Tindak balas babi itu ‘taboo’ larangan agama Islam, bagaimana boleh disarankan bahkan diajak lagi,” katanya kesal.

Sumber: https://ismaweb.net/2020/07/12/hina-jawi-sikap-netizen-cina-cukup-dajal-bukan-biadab-lagi/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo