NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cukai Petroleum: Sabah tuntut hak sama seperti Sarawak


KUALA LUMPUR - Kerajaan Sabah menuntut hak yang sama daripada Petronas berhubung bayaran cukai jualan produk petroleum sebanyak lima peratus sebagaimana yang diterima Sarawak.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perkara itu sudahpun dibincangkan sebelum ini dan mahkamah juga telah memutuskan bahawa Sabah juga mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum.

“Sekiranya sebelum ini Sarawak boleh menuntut hak mereka, mengapa Sabah tidak boleh berbuat demikian.

“Jadi, saya sudah pun menulis surat kepada Petronas berhubung perkara ini dan tuntutan mesti dilakukan, “ katanya dalam satu wawancara bersama media di Rumah Sabah di sini hari ini

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, 80 peratus pelanggan bagi produk petroleum di Sabah melibatkan Petronas, namun sehingga syarikat petroleum negara itu masih belum melanggannya.

“Lebih daripada sembilan syarikat yang terlibat dan tujuh daripadanya sudah pun melanggan serta telah mula membayar kepada kerajaan negeri sekitar RM25 juta sehingga kini.

“Jadi kita akan meneliti apa yang telah diputuskan oleh mahkamah berhubung perkara ini. Bagaimanapun kami tidak berhasrat untuk menyelesaikannya di mahkamah kerana ini tidak baik untuk negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut memaklumkan bahawa Sabah turut menyumbangkan lebih dari 37 peratus kekayaan negara dengan menghasilkan sekitar 1.3 bilion tong petroleum.

Katanya, Sabah tidak keberatan untuk berkongsi hasil sumber asli itu namun perlu mengikut garis panduan yang sewajarnya dan diagihkan sama rata demi pembangunan di Sabah.

Sebelum ini, kerajaan Sabah telah melaksanakan cukai jualan sebanyak lima peratus terhadap semua produk petroleum di negeri itu berkuat kuasa Mac lalu dan pelaksanaan cukai berkenaan telah dibincangkan bersama Kerajaan Persekutuan ketika diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuching membuat keputusan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum selepas menolak permohonan Petronas untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mengisytiharkan cukai jualan Sarawak tidak sah dan terbatal.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/article/92193/BERITA/Nasional/Cukai-Petroleum-Sabah-tuntut-hak-sama-seperti-Sarawak

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo