Adun Serom letak jawatan dalam Amanah Johor


Adun Serom, Faizul Amri Adnan melepaskan jawatan sebagai pengerusi jawatan pendidikan dan ahli jawatankuasa parti Amanah Johor.

Melalui salinan surat peletakan jawatan yang dilihat Malaysiakini, Faizul memberi alasan melepaskan jawatan itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu diperingkat negeri dan konflik dalam parti setiap peringkat.

"Saya juga ingin menyatakan bahawa saya tidak lagi berminat untuk menjadi calon bagi mewakili parti Amanah Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

"Akhir kata saya ingin mengucapkan ribuan terima masih di atas peluang dan kerjasama yang diberikan selama ini," katanya dalam surat berkenaan.

Faizul pada PRU14 lalu bertanding di kerusi berkenaan mewakili parti Amanah.

Sebelum ini ketika krisis politik Johor yang menyaksikan pertukaran kerajaan, Adun Amanah Johor turut dikaitkan dengan khabar angin akan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, kesemua kesembilan Adun Amanah di negeri itu manzahirkan sokongan kepada PH.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, berkata jawatankuasa parti itu akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan Adun Serom itu.

Beliau memaklumkan surat peletakan jawatan tersebut diterima oleh pengerusi dan Setiausaha Amanah negeri Johor melalui aplikasi WhatsApp pada jam 8 pagi 21 Julai 2020.

"Jawatankuasa pimpinan Amanah negeri akan bermesyuarat bagi menentukan samada menerima peletakan jawatan tersebut atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post