Warisan semakin hilang kepercayaan rakyat: Hiew


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) semakin hilang kepercayaan daripada rakyat Sabah dan sekarang menerima padah sebagai kerajaan pintu belakang, kata Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Hiew King Cheu.

Beliau mendakwa, prestasi Warisan dalam mentadbir negeri dinilai sebagai lemah dalam kad laporan rakyat.

“Rakyat malah mempersoalkan jika Warisan layak menjadi kerajaan. Sejak dua tahun lepas, ekonomi Sabah menurun yang memberikan impak ke atas rakyat.

“Sebabnya jelas dan rakyat sekarang sangat bimbang mengenai apa yang akan berlaku ke atas ekonomi, pembangunan, hubungan dengan Kuala Lumpur dan paling penting kestabilan politik, di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri,” kata Hiew dalam satu kenyataan pada Ahad, di sini.
Katanya, terdapat juga pertelingkahan dalaman dalam Warisan yang memburukkan lagi kecekapannya untuk mentadbir negeri.

“Prestasi kerajaan negeri pimpinan Warisan, iaitu sebuah kerajaan pintu belakang, dibebankan lagi dengan masalah percanggahan dalaman dan ketidakcekapan.

“Dua tahun selepas memegang tampuk kuasa daripada Barisan Nasional (BN), nyata tidak konsisten dalam memberikan bantuan kepada rakyat Sabah, apatah lagi ekonomi yang stabil,” katanya.

Menurut Hiew, Warisan mampu mengambil alih dan membentu kerajaan adalah susulan tindakan wakil rakyat lain yang bergabung dengan mereka untuk mencukupkan jumlah majoriti.

“Ada yang mengatakan mereka sudah lupa bagaimana mereka membentu kerajaan pintu belakang ini,” katanya.

Sebaliknya, Hiew berkata anggota Warisan menggunakan sentiment menentang semenanjung mengenai hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi lupa rakan mereka di Sabah adalah dari DAP dan PKR.

“Sepanjang dua tahun kerajaan terdahulu Pakatan Harapan (PH) memerintah tidak banyak bantuan yang dicapai oleh dua parti Malaysia Barat ini. Sekarang, ada cakap-cakap yang tersebar kononnnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mensasarkan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
“Malah Adun Sri Tanjung dari DAP Datuk Jimmy Wong telah berulang kali menyebut bahawa pilihan raya kilat perlu diadakan, namun dimalukan oleh kenyataan Shafie yang mengatakan ia tidak perlu.

“Wong bertindak sembarangan atau membuat kenyataan tanpa berunding dengan bos beliau, dan kenyataan beliau pantas dibantah oleh Shafie yang mengatakan tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kilat,” katanya.

Hiew berkata ini hanya menunjukkan ahli-ahli dalam kerajaan Sabah menuju ke landasan berbeza.
Katanya, kenyataan Jimmy bahawa beliau akan meletakkan jawatannya sebagai pembantu menteri dalam jabatan Ketua Menteri untuk menjadi penyokong baru bunganya sahaja dan dua lagi YB yang meninggalkan Upko boleh menyebabkan lebih ramai lagi meninggalkan kerajaan pintu belakang Warisan ini.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post