NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun Mahathir letak jawatan kerana tidak mahu beri jawatan PM kepada Anwar? - Syed Ali



KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan Perdana Menteri kerana niatnya yang tidak mahu melepaskan jawatan tersebut kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, jika Dr Mahathir ikhlas, beliau sudah tentu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu seperti perjanjian asal Pakatan Harapan (PH) yang dibuat sebelum ini.

Jelasnya, rakyat juga sudah melihat cara Dr Mahathir yang mengelak apabila ditanya isu penyerahan jawatan itu oleh sekutunya di dalam PH sendiri.

"Anwar sudah dipermainkan Dr Mahathir bukan sekali, malah dua kali. Kali pertama semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri di mana beliau disingkir daripada UMNO, kali kedua dalam PH, Dr Mahathir meletak jawatan secara mengejut bagi menghalang Anwar. Tetapi untuk menyembunyikan pengkhianatannya terhadap Anwar, Dr Mahathir menuding jari kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sekarang ini pula beria-ia benar Dr Mahathir mahukan jawatan Perdana Menteri dengan sokongan DAP dan Anwar bakal timbalannya. Pada hemat saya, Anwar tidak akan membiarkan dirinya 'terkena' lagi oleh Dr Mahathir untuk kali ketiga.

"Penyokong Anwar juga mungkin sudah sedar bagaimana liciknya Dr Mahathir memperdaya Anwar. Apakah Dr Mahathir sekali lagi akan melakukan yang sama? Kita tengok," katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebooknya pada Rabu.

Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Surat peletakan jawatan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kata Syed Ali, ramai sudah letih dengan pelbagai tuduhan tidak meyakinkan oleh Dr Mahathir terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

"Setiap kali tulisannya hanya berkisar kepada orang Melayu dan DAP. Seperti cukup sinonim dalam fikiran bekas Perdana Menteri itu bahawa satu kesilapan rakyat kerana menyokong Muhyiddin dan menolak DAP.

"Tambah memeritkan, Dr Mahathir tidak pernah mengakui kelemahan dan kesilapan dirinya selama ini. Bagi Dr Mahathir apa sahaja yang beliau cakap dan lakukan mesti dianggap betul.

"Oleh sebab itu, beliau sentiasa mengulangi tuduhannya bahawa kerajaan kleptokrasi dijatuhkan dan parti-parti yang menentang kleptokrasi diangkat oleh rakyat untuk mendirikan kerajaan.

"Beliau turut mendakwa parti yang ditolak oleh rakyat berjaya merampas kuasa dan mendirikan kerajaan.

"Realitinya sekarang rakyat 'pening' dengan telatah Dr Mahathir masih mahu menjadi Perdana Menteri untuk kali ketiga," tegasnya.

Syed Ali turut menolak dakwaan Dr Mahathir bahawa Muhyiddin menawarkan pelbagai jawatan untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Malah katanya, tuduhan Dr Mahathir bahawa ramai dalam kerajaan Muhyiddin terdiri daripada mereka yang mengutamakan diri sendiri hanya bermotifkan agenda politik.

Jelasnya, rakyat kini penuh yakin dan percaya bahawa buat masa ini Muhyiddin adalah Perdana Menteri yang bertanggungjawab membela nasib rakyat dan jika Dr Mahathir mahu, beliau perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk melihat sama ada keinginan politiknya berjaya menjadi kenyataan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo