NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiga produk kosmetik dikesan mengandungi merkuri - KP Kesihatan



KUALA LUMPUR, 9 Jun -- Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual iaitu merkuri, yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan, tiga produk berkenaan ialah Glow Skin White-Brightening Cream, Glow Skin White-Sun Care dan Rzac Beauty Creme 2.

Menurut Dr Noor Hisham, notifikasi produk kosmetik yang terlibat telah dibatalkan dan penjualan produk kosmetik berkenaan tidak lagi dibenarkan di negara ini.

"Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf.

"Bahan berkenaan juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Sehubungan itu, penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diminta menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta.

Tegas Dr Noor Hisham, penjualan dan pengedaran produk kosmetik itu adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurutnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang ramai yang sedang menggunakan produk kosmetik berkenaan supaya menghentikan segera penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo