NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Takiyuddin kongsi gambar PAS, BN, Bersatu tanda tangan dokumen

BANGI, 17 Syawal 1441H, Selasa – Kurang 24 jam selepas menyatakan keyakinan Perikatan Nasional (PN) bersedia memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkongsi gambar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani satu dokumen.

"Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat, perbezaan pendapat yang jujur petanda kemajuan yang baik – Gandhi," ciapnya menerusi akaun Twitter beliau, hari ini.
Walau bagaimanapun, Takiyuddin tidak mendedahkan bila, di mana dan apakah tujuan dokumen berkenaan ditandatangani.

Terdahulu, PAS yakin parti yang membentuk PN bersedia memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-15.

Takiyuddin dalam kenyataan berkata, PAS juga yakin semua parti bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama.

"PAS menegaskan bahawa kerjasama politik terutamanya bersama Barisan Nasional (BN) dan Bersatu semakin mantap, sekali gus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kerajaan PN yang menjadi kerajaan hari ini," katanya.

Takiyuddin berkata, tanpa menghiraukan segala spekulasi pembangkang yang hanya perang psikologi semata-mata, PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan PN pimpinan Muhyiddin bersama barisan Kabinetnya yang terdiri daripada semua wakil parti.

"Adalah suatu fakta yang jelas bahawa kerjasama politik antara PAS dengan BN, khususnya UMNO, telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019, sekali gus membentuk Muafakat Nasional (MN).

"Manakala kerjasama sehingga terbentuknya kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian memorandum persefahaman oleh Pengerusi dan Presiden BN, BERSATU, PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN," katanya.

Sumber: https://ismaweb.net/2020/06/09/takiyuddin-kongsi-gambar-pas-bn-bersatu-tanda-tangan-dokumen/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo