NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sungai Nil Sebagai Alat Untuk Melemahkan Pemimpin dan Negara Islam.



Ketika ini, pembinaan empangan oleh Ethiopia di Sungai Nil telah mencetuskan ketegangan antara tiga buah negara iaitu Mesir, Sudan dan Ethiophia. Pembinaan empangan Grand Ethiopian Renaissance Dam ( GERD ) telah membangkitkan ketegangan hingga hampir mencetuskan peperangan antara ketiga - tiga negara terbabit.

Minggu lalu, Mesir telah membawa isu pembinaan empangan tersebut ke Majlis Keselamatan Bangsa - Bangsa Bersatu serta meminta supaya PBB masuk campur dan menjadi pengantara untuk memulakan rundingan antara ketiga - tiga negara dalam pertelingkahan mengenai empangan tersebut.

Ini berikutan kegagalan rundingan antara ketiga - tiga negara tersebut dan keengganan Ethiopia untuk memenuhi permintaan Sudan dan Mesir untuk melambatkan pengisian air di empangan tersebut di mana Ethiopia bertegas untuk mengikut jadual asal mereka untuk mengisi air di empangan tersebut secepat mungkin.

Dengan mempercepatkan pengisian air di empangan tersebut untuk menjana kuasa hidro dan untuk sistem pengairan sektor pertanian di Ethiopia, jumlah pelepasan air ke Sungai Nil akan berkurangan dengan begitu drastik hingga mampu menjejaskan sektor pertanian dan keperluan sumber air bersih kepada kepada negara - negara lain di sepanjang sungai tersebut terutamanya Sudan dan Mesir.

Mesir sejak dari dahulu lagi sememangnya bergantung kepada Sungai Nil untuk bekalan air bersih dan untuk sektor pertaniannya. 90 peratus bekalan air Mesir datangnya daripada Sungai Nil. Telah tercatat dalam sejarah bahawa survival dan kemakmuran negara - negara di sepanjang Sungai Nil adalah bergantung kepada kestabilan aliran air di sungai tersebut.

Begitu juga dengan Sudan, ia turut bergantung kepada Sungai Nil untuk kelangsungan hidup rakyat dan kemakmuran negaranya. Kedua - dua negara ini amat bergantung kepada Sungai Nil. Sejak beberapa abad lalu, Mesir dan Sudan telah membina beberapa buah empangan di Sungai Nil dalam negara mereka.

Selain bertujuan untuk memperolehi sumber air bersih, pembinaan empangan tersebut juga adalah untuk pengairan sektor pertanian kedua - dua negara tersebut dan juga untuk mengelakkan banjir yang kerap berlaku di kedua - dua negara itu ketika air pasang di Sungai Nil.

Sebenarnya peperangan untuk menguasai sumber air di Sungai Nil telah berkurun lamanya berlaku kerana Sungai Nil merupakan tali hayat kepada penduduk dan negara di sepanjang sungai tersebut.
Namun akhir tahun 1800, terdapat beberapa perjanjian yang jelas yang boleh dijadikan rujukan betapa politik mempengaruhi penguasaan sumber air yang cukup berharga ini.

I5 April 1891 Anglo Italian Protocol.
15 Mei 1902 Treaty Between Great Britain and Ethiopia.
9 Mei 1906 Agreement Between Britain and the Government of the Independent State of Congo.
13 Disember 1906 Tripartite Treaty ( British - France - Italy )
7 Mei 1929 The Agreement Between Egypt and Anglo Egyptian Sudan.
1959 Nile Water Agreement

Namun kebanyakkan dari penjanjian ini terutamanya penjanjian pada tahun 1959 memberikan kuasa mutlak kepada Sudan dan Mesir hak dan kuasa untuk menentukan penggunaan sumber air di Sungai Nil dan juga jelas terdapat klausa - klausa dalam perjanjian terdahulu bahawa tidak dibenarkan membina sebarang empangan di Sungai Nil Biru yang berada di Ethiopia.

Jika berpandukan kesemua perjanjian tersebut menurut pakar perundangan dan konflik berkaitan Sungai Nil, jelas Ethiopia tidak mempunyai hak dan kuasa untuk membina empangan tersebut tanpa persetujuan Mesir dan Sudan. Tentunya pembinaan empangan tersebut menyebabkan kemarahan Mesir dan Sudan kerana Ethiopia tidak mempunyai hak dan kuasa membabitkan Sungai Nil.

Di sebalik semua perjanjian dan konflik berkaitan Sungai Nil dan negara - negara yang berkepentingan di sepanjang sungai tersebut, konflik terbaru ini sebenarnya bakal mendedahkan peranan di sebalik tabir negara tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi disebalik konflik ini iaitu Israel.

Sasterawan Syauqi Aql menyebut dengan jelas bahawa regim Israel sebenarnya memainkan peranan besar di sebalik pembinaan empangan ini sejak dari awal lagi dengan memberikan sokongan secara terbuka kepada Ethiopia melalui kenyataan Benjamin Netanyahu yang menegaskan akan mempertahankan projek ini.

7 Julai 2016 ketika lawatan Benjamin Netanyahu ke Addis Ababa, Ethiopia, Netanyahu secara jelas menyokong Ethiopia membina empangan tersebut untuk kepentingan Ethiopia namun lawatan itu sebenarnya telah menimbulkan banyak tanda tanya kerana pada masa lawatan tersebut, Netanyahu telah melawat hampir keseluruhan negara di sepanjang lembah Sungai Nil.

Namun menurut Syauqi Aql, tujuan Netanyahu menyokong pembinaan empangan tersebut adalah kerana di sana terdapat ruang yang boleh melemahkan kekuatan Islam dan Mesir itu sendiri. Netanyahu mengetahui bahawa Mesir terlalu bergantung kepada Sungai Nil dan dengan menyokong Ethiopia, regim Israel akan mempunyai sekutu yang mempunyai kekuatan untuk melemahkan Mesir.

Perkara ini sebenarnya telah diberikan amaran oleh beberapa tokoh pemikir Mesir sejak beberapa dekad yang lalu, antaranya Dr. Muhammad Hasanain Haikal yang merupakan seorang tokoh wartawan dan pengkritik politik Timur Tengah yang terkenal dan disegani.

Beliau pernah menyebut dalam satu ulasannya bahawa cubaan untuk melemahkan Mesir dengan menggunakan Sungai Nil telah bermula sejak 800 tahun yang lalu iaitu selepas kekalahan tentera salib di tangan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi sebagai langkah untuk membalas dendam dan menghubungkan mereka dengan negara Kristian Ethopia.

Pendapat beliau juga disokong oleh Almarhum Syeikh Abdul Hameed Kisyk yang pernah memberi amaran akan ancaman perancangan musuh-musuh Islam khususnya regim Israel untuk melemah dan menghancurkan Mesir dengan menggunakan Sungai Nil sebagai alat untuk melaksanakannya.

Namun Mesir saat ini di bawah pemerintahan Abdul Fattah Al Sisi lebih ghairah untuk masuk campur soal peperangan di Libya. Isu sebenar yang perlu diberi perhatian oleh Mesir sekarang ini ialah projek pembinaan Empangan Grand Ethiopian Renaissance Dam di Ethopia dan bukannya peperangan di Libya.

Amat mengecewakan apabila Abdul Fattah As-Sisi lebih banyak menghabiskan masa dan tenaga membantu Khalifa Haftar di Libya dengan dibiayai oleh sumber kewangan daripada UAE dan sokongan ‘kuasa besar’ di belakang dengan alasan untuk menyekat campurtangan Turki di Libya.

Sedangkan ancaman paling besar terhadap Mesir adalah isu Empangan Great Ethiopian Renaissance Dam yang sedang dibina oleh Ethopia di mana yang jelas campurtangan regim Israel di belakangnya bagi melaksanakan strategi ‘Menghapuskan Mesir’ iaitu menyekat aliran Sungai Nil yang menjadi nadi kepada Mesir sejak ribuan tahun lamanya.

Apakah Abdul Fattah Al Sisi lebih mementingkan rakyat dan negaranya atau sekutunya seperti UAE yang hanya menggunakan Mesir untuk kepentingan geopolitiknya ? Yang tampak jelas saat ini, Abdul Fattah Al Sisi lebih gemar mencari suaka kekuasaan politik untuk mempertahankan kuasanya dari mementingkan rakyat dan negaranya.

Semoga Allah SWT melindungi Mesir dan rakyatnya serta mengembalikan Islam sebagai tonggak kekuasaan di bumi anbia tersebut.

Islam Memimpin Perpaduan.

***YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat merangkap ADUN Batu Buruk.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo