NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siri buku ‘Kenapa Babi Tidak Halal?’: Siri 1: Haiwan-Haiwan Yang Disebut Di Dalam Al-Quran


Samhani Ismail, PhD.

Siri 1: Haiwan-Haiwan Yang Disebut Di Dalam Al-Quran

Terdapat beberapa jenis haiwan yang disebutkan di dalam Al-Quran. Haiwan-haiwan ini adalah ikon yang signifikan dan mewakili, samada daripada segi memberi manfaat, mudarat, ataupun untuk membuat manusia berfikir tentang kehebatan Allah Azza wa Jalla. Di antara haiwan-haiwan tersebut adalah semut, lebah, nyamuk, belalang, serigala, lalat, labah-labah, kera, babi, gajah, lembu betina dan unta.

Allah menyebutkan unta dengan ayat yang cukup menarik di dalam Surah Al-Ghasyiah, ayat 17-21. “Maka apakah mereka tidak memerhatikan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan langit bagaimana ia ditinggikan? Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? Dan bumi bagaimana ia dihamparkan? Maka berilah peringatan kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan.”

Ayat di atas mengetuk-ngetuk akal kita supaya berfikir bahawa terdapat kehebatan unta yang luar biasa, sehingga Allah menyebut haiwan ini di dalam firmanNya yang mulia. Melalui kajian dan penafsiran, maka terungkailah bahawasanya unta merupakan makhluk Allah yang istimewa. Struktur tubuhnya istimewa berbanding haiwan-haiwan lain yang membolehkan unta bertahan hidup berhari-hari tanpa air dan makanan, serta mampu mengangkat ratusan kilogram beban di atas belakang badannya selama beberapa hari.

Manakala semut pula diambil iktibar sebagai haiwan yang rajin, tersusun, patuh, berstrategi dan bekerjasama. Semut mampu menjadi contoh kepada manusia di dalam urusan kehidupan bermasyarakat bahkan pada urusan berpolitik. Semut hidup di dalam koloni yang besar. Di dalam satu koloni semut yang terdiri daripada satu spesies semut sahaja, semut hidup secara berhierarki. Hierarki semut memiliki ratu, golongan pembantu, golongan askar dan golongan rakyat marhaen.

Lebah pula merupakan sejenis haiwan terbang yang memakan makanan yang baik-baik dan mengeluarkan madu yang baik dan boleh dimanfaatkan oleh manusia sebagai ubatan. Terdapat lima buah surah yang diberi nama dengan nama-nama haiwan, iaitu Surah Al-Baqarah (Lembu Betina), Surah An-Namlu (Semut), Surah Al-Ankabut (Labah-labah), Surah Al-Fil (Gajah) dan Surah An-Nahlu (Lebah).

Di samping itu, Allah turut mengisytiharkan sumbangan haiwan yang telah dilantik menjadi wakil Nabi Sulaiman iaitu burung Hudhud. Burung Hudhud sebagaimana diceritakan di dalam al-Quran telah dilantik menjadi utusan Nabi Sulaiman untuk menemui Ratu Balqis. Kisah ini terkandung di dalam Surah An-Namlu, ayat 27-28 sebagaimana berikut:

“Dia (Sulaiman) berkata, “Akan kami lihat, apakah kamu benar atau termasuk yang berdusta. Pergilah dengan (membawa) suratku ini lalu jatuhkanlah kepada mereka, kemudian berpalinglah daripada mereka, lalu perhatikanlah apa yang mereka bicarakan.”

Tidak ketinggalan, haiwan yang menjadi mangsa fitnah juga ada disebut di dalam Al-Quran. Haiwan tersebut adalah serigala. Serigala telah difitnah oleh saudara-saudara Nabi Yusuf bahawa haiwan itu telah membunuh baginda, sedangkan apa yang berlaku sebenarnya adalah saudara-saudara baginda sendiri telah mencampakkan baginda ke dalam perigi buta. Mereka membawa pulang baju Nabi Yusuf yang berlumuran darah kepada ayahanda mereka iaitu Nabi Yaakub. Kisah sedih kejadian fitnah ini telah Allah ceritakan di dalam Surah Yusuf, ayat 17

“Mereka berkata, “Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf berdekatan barang-barang kami, kemudia dia telah dimakan serigala; dan kamu sekali-kali tidak akan percaya kepada kami, sekalipun kami adalah orang yang benar.”

***Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu. Penulis boleh dihubungi di alamat samhanismail@gmail.com

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo