Seruan PRU: Demi rakyat atau kepentingan peribadi?


Oleh Ahmad Abd Hamid

SUDAH beberapa orang pemimpin UMNO, termasuk Timbalan Presiden dan Naib Presiden, menggesa diadakan pilihan raya umum (PRU) sebagai pemecah kebuntuan dalam suasana politik semasa.

Malah ada yang ‘memomokkan’ kerajaan Pakatan Nasional (PN) yang dianggap tidak kuat dan PRU baharu dicanang-canangkan sebagai keperluan untuk mewujudkan sebuah kerajaan baharu yang lebih kukuh.

Pada masa sama, penganalisis politik pula berpendapat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak akan tunduk kepada desakan supaya membubarkan Parlimen kerana menyedari keadaan tidak menyebelahi partinya, Bersatu.

Hakikat ini dapat difahami dengan kedudukan parti itu yang tidak stabil khususnya dengan perpecahan yang menyaksikan kelompok Tun Dr. Mahathir Mohamad dan penyokongnya dipecat daripada menganggotai parti.

Dalam keghairahan pemimpin UMNO membuat gesaan supaya PRU didakan, tiada seorang pun antara mereka yang menyentuh mengenai nasib Bersatu yang kini menjadi rakan kongsi dalam kerajaan PN.

Bahkan, kalau diimbau balik kenyataan pemimpin UMNO, kehadiran mereka dalam kerajaan bersama-sama Bersatu hanya sekadar memberi sokongan semata- mata dan kerjasama itu bukan kata pengikat sehingga pilihan raya akan datang.

UMNO hanya akan bersama Pas dalam Permuakatan Nasional dan parti lain yang menyokong mereka. Ini bermakna Bersatu tiada dalam radar bekas parti pemerintah itu untuk sama-sama mendepani PRU-15.

Oleh sebab, Bersatu sudah ‘menceraikan’ Pakatan Harapan (PH), maka Bersatu akan menghadapi PRU berkenaan secara bersendirian?

Berikutan kejayaan Bersatu yang diketuai Muhyiddin ‘merampas kuasa’ dari PH, sesetengah pihak dalam UMNO semakin yakin bahawa rakyat akan bersama mereka untuk kembali menerajui negara. Dengan sokongan Pas, percaturan itu tidak mustahil.

Tidak menghairankan apabila gesaan supaya Parlimen dibubarkan menjadi semakin rancak. Bahkan suara berkenaan juga datang daripada mereka yang sudah berada dalam kerajaan atau dilantik memegang jawatan dalam agensi milik kerajaan.

Perlukah kerajaan sedia ada ‘ditamatkan hayatnya’ hanya kerana dipercayai berdiri atas tiang yang rapuh? Benarkah begitu?

Timbul tanda tanya apabila pandangan berbeza diberikan oleh Tan Sri Annuar Musa. Katanya, kerajaan semasa adalah stabil dan tidak perlu untuk tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya baharu.

Sebenarnya, desakan berterusan supaya PRU diadakan hanya menyerlahkan UMNO lebih mengutamakan kuasa semata-mata, apatah lagi ketika negara dirundung dengan pelbagai masalah termasuk kemelut ekonomi selepas pasca Covid-19.

Sukar sangatkah untuk UMNO dan parti politik lain termasuk pembangkang seperti PH untuk turut mendengar denyut nadi rakyat yang kini hidupnya sukar.

Barangkali kesemua mereka ini dibutakan dengan desakan nafsu untuk berkuasa dan keghairahan untuk ‘merebut’ harta rakyat semata-mata. Wujudkah, kerajaan tanpa rakyat dan begitu juga sebaliknya.

Sokongan parti politik seperti UMNO dan Pas kepada kerajaan semasa biarlah ikhlas tetapi bukan sekadar batu loncatan bagi kembali menerajui negara. Jika tidak, kepentingan siapa yang menjadi keutamaan sebenarnya.

Tidak dinafikan keyakinan menebal bakal mencatat kemenangan besar dan dikuatkan dengan muafakat bersama-sama Pas, ramai yang beria-ia untuk melihat tampuk pemerintahan bertukar lagi atas pelbagai alasan yang dibuat-buat.

Benarkah, pilihan raya yang baharu akan membentuk kerajaan yang mantap dan kukuh. Segala-galanya boleh menjadi andaian dan tidak semestinya menjadi kenyataan.

Sikap pengundi sekarang sudah tidak seperti dahulu. Mereka lebih berani membuat pilihan. Trend ini sudah dilihat pada PRU-14 yang kita sudah tahu keputusannya.

Keputusan PRU itu bagai satu pola baharu memilih kerajaan. Yang menang dengan yang tewas tidak banyak perbezaan kerusi. Majoriti dua pertiga sudah semakin sukar walau pun tidak mustahil.

Bagaimanakah jika PRU diadakan dan keputusannya tidak memberi kemenangan kukuh kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan? Kemungkinan senario seperti sekarang sikap lompat melompat parti akan berterusan. Jadi di mana kesudahannya?

Mungkin benar pandangan pihak tertentu, biarpun kita telah lama merdeka tetapi politik kita masih tidak matang dan ditakuk lama.

Mana pergi janji dan slogan yang dilaung-laungkan selama ini berkhidmat untuk membangunkan negara dan membela rakyat.

Jangan asyik mendesak. Nanti rakyat akan melihat orang politik sebagai hanya pandai berpolitik dan pentingkan diri sendiri sementara rakyat diabai dan dipermainkan.

–BebasNews

Sumber: https://bebasnews.my/?p=39477

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post