NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sarawak Report perlu kemuka bukti dakwaan jahatnya



KUALA LUMPUR: Sarawak Report perlu mengemukakan bukti termasuk menamakan pesawat dinaiki, hospital di Singapura serta doktor yang kononnya merawat Tan Sri Muhyiddin Yasin yang didakwa portal berita itu dalam laporannya bahawa Perdana Menteri melanggar perintah kuarantin di rumah.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kegagalan portal berkenaan mengemukakan bukti bermakna laporan disiarkan adalah berniat jahat untuk memburukkan imej Perdana Menteri.

Katanya, seperti dijelaskan sebelum ini, laporan kononnya Muhyiddin melanggar perintah kuarantin di rumah bagi menjalani rawatan kanser di luar negara satu pembohongan, tuduhan berniat jahat dan ia hanya rekaan penulis.

"Semasa tempoh kuarantin, Perdana Menteri sentiasa mematuhi arahan tidak keluar rumah. Semua tugasan rasmi hanya dijalankan dari rumah termasuk mengadakan sidang video dengan Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan," jelas kenyataan itu.

Muhyiddin sebelum ini diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari bermula 22 Mei lalu selepas seorang daripada pegawai yang hadir mesyuarat pasca-Kabinet dipengerusikan beliau disahkan positif COVID-19.

Kenyataan itu menyebut, amat malang apabila portal berita berkenaan kini berubah menjadi perkakas politik bagi menjaja dan menyebabkan fitnah melalui laporan yang tidak berpaksikan kebenaran.

"Fitnah ini adalah satu gangguan yang tidak perlu ketika negara sedang berhadapan pandemik kesihatan dan cabaran ekonomi yang belum pernah dialami sebelumnya," katanya.

Pejabat Perdana Menteri sekali lagi menyatakan pakar perubatan sudah mengesahkan bahawa Muhyiddin kini bebas daripada penyakit kanser dan cukup sihat untuk melaksanakan tugas sebagai ketua kerajaan.

Dalam kenyataan sama juga, dilampirkan dua surat pengesahan dari pakar mengenai tahap sebenar kesihatan Muhyiddin ketika ini.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/700840/sarawak-report-perlu-kemuka-bukti-dakwaan-jahatnya

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo