NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Chini: SPR keluarkan 156 kertas undi pos


PEKAN, 30 Syawal 1441H, Isnin – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 156 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini semalam.
Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini berkata,  pengeluaran kertas undi pos bermula pada 2.30 petang dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Komuniti, Majlis Daerah Pekan.

"Kesemua 156 permohonan undi pos tersebut terdiri daripada kategori Borang 1A (petugas pilihan raya). Tiada Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara dan permohonan undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan)," katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Azhar berkata, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada parti BN di samping menjemput seorang wakil pemerhati terpilih untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos berkenaan.

Selain itu, katanya proses pengeluaran kertas undi pos itu turut disiarkan secara langsung  di Facebook SPR bertujuan untuk meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

Azhar berkata, sebanyak 155 sampul keutamaan telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit manakala satu lagi sampul keutamaan telah diserahkan oleh Pegawai Pengurus kepada pengundi melalui serahan tangan pada hari yang sama.

SPR mengingatkan semua pengundi pos supaya mengisi dengan lengkap dan betul serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus PRK DUN Chini sebelum 5 petang pada hari pengundian 4 Julai ini.

Justeru itu, Azhar turut mengingatkan pengundi agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial. 

"Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya," kata beliau.

DUN Chini dengan dua mukim iaitu Penyor dan Lepar mempunyai 20,990 pengundi yang kebanyakannya membabitkan diri dalam sektor perladangan.

DUN Chini, salah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.-  Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo