Penjana Kemakmuran Bersama – Syahir Sulaiman



1. Setelah melaksanakan pakej PRIHATIN bernilai RM260 bilion, Kerajaan telah mengumumkan pakej PENJANA bernilai RM35 bilion bagi memacu kembali ekonomi Malaysia.

2. Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan pakej PRIHATIN masih berterusan dan sehingga kini telah berjaya menyelamatkan lebih 2.4 juta pekerjaan, mengurangkan beban aliran tunai hampir 11 juta rakyat serta memberi sokongan kepada lebih 300 ribu syarikat.

3. Tanpa berselindung Perdana Menteri mengakui Malaysia berdepan cabaran amat getir seperti kesempitan hidup rakyat, kadar pengangguran yang tinggi, persekitaran perniagaan yang suram dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

4. Tiga teras utama telah digariskan, iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi negara.

5. Antara pengumuman yang disambut baik adalah peruntukan RM9 bilion untuk menangani masalah pengangguran dan pengekalan pekerjaan, seperti program subsidi upah, program insentif pengambilan pekerja, program peningkatan kemahiran, program latihan dan penempatan, serta galakan penyertaan ekonomi digital kepada belia.

6. Manakala pelbagai program dan bantuan disalurkan kepada golongan B40 dan M40 bertujuan untuk meringankan kos sara hidup, meningkatkan kuasa beli dan merancakkan permintaan dalam perbelanjaan harian melibatkan makanan, pendidikan, dan kesihatan, serta komitmen jangka panjang seperti pembelian kereta dan rumah mampu milik.

7. Dalam usaha membantu kelangsungan perniagaan yang terjejas dengan tekanan kos dan aliran tunai, sejumlah RM2 bilion pembiayaan ditawarkan kepada PKS, RM1 bilion kepada pengusaha pelancongan, RM400 juta pembiayaan mikro serta pelbagai geran pembiayaan kepada peniaga dan usahawan dalam sektor berkepentingan.

8. Untuk meningkatkan inovasi dan pelaburan dalam negara, Kerajaan turut menawarkan sejumlah dana dan insentif yang signifikan bagi melonjakkan keupayaan sains dan teknologi, digitalisasi, modal teroka (venture capital) dan platform e-dagang, di samping galakan cukai kepada pelabur dan pengilang untuk beroperasi di Malaysia.

9. Memperhalusi 40 inisiatif yang digariskan PENJANA, Kerajaan perlu memastikan pelaksanaan dan penyampaian segala bantuan dan program dapat disegerakan, disalurkan secara terus dan telus, bagi menghasilkan lonjakan dan limpahan berimpak tinggi dalam tempoh suku ke-3 dan ke-4 tahun 2020.

10. Dua penentu kejayaan PENJANA adalah pematuhan normal baharu dan kerjasama awam-swasta, melibatkan peranan kerajaan, usahawan, institusi perbankan, institusi baitulmal, NGO, pekerja, dan pengguna.

11. Hakikatnya tempoh 3 bulan hingga 6 bulan mendatang adalah sangat mencabar kepada rakyat dan peniaga. Justeru fokus perlu diberikan kepada peralihan ekonomi dan pengukuhan negara, walaupun negara disibukkan dengan polemik peralihan kuasa.

12. Kita adalah #PENJANA, demi kemakmuran bersama.

Syahir Sulaiman
6 Jun 2020

Bacaan lanjut:

Teks Ucapan Perdana Menteri: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), 5 Jun 2020

https://www.pmo.gov.my/2020/06/teks-ucapan-pelan-jana-semula-ekonomi-negara-penjana/

Soalan Lazim Inisiatif PENJANA, Kementerian Kewangan

https://penjana.treasury.gov.my/

Jangkaan Awal: Menjana Semula Pemulihan Ekonomi, Syahir Sulaiman, 4 Jun 2020

https://harakahdaily.net/index.php/2020/06/04/menjana-semula-pemulihan-ekonomi-syahir-sulaiman/

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post