NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penghinaan Kepada Jata Negara: Kementerian Dalam Negeri Harus Segera Ambil Tindakan



1. Hari ini rata-rata di media sosial pengguna berkongsi satu pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books di pautan [https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3961434060565004&id=597490066959437] yang mengiklankan sebuah buku bertajuk "Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia" (ISBN : 9789672165811) disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

2. Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

3. Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat JATA NEGARA dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

4. Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2016, memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM 20,000.00 bagi kesalahan penggunaan lambang negara termasuk jata negara secara tidak wajar.

5. Nampaknya Akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 belum cukup menggerunkan sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara, melalui penerbitan buku sebegini.

6. Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mendesak agar pihak penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak Berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara.

7. Kementerian Dalam Negeri juga harus segera mengambil langkah menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini untuk mengelakkan daripada terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

28 Jun 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo