MTCC dapat pengerusi baharu


KAMARUZAMAN (kiri) merakam gambar kenangan bersama Teng Koon (kanan) dalam sesi taklimat yang diadakan di pejabat Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) baru-baru ini.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR –- Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) hari ini secara rasmi mengumumkan Pengerusi baharu iaitu Kamaruzaman Mohamad.

Kamaruzaman yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains (Kepujian) (1997) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Sistem Maklumat (2000) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mula memegang tanggungjawab tersebut sejak 11 Mei lalu.

Pelantikan beliau dibuat berdasarkan pengalaman serta kebolehannya dalam bidang keusahawanan yang dimulainya dalam industri minyak dan gas sejak 2010 hingga kini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTCC, Yong Teng Koon berkata, pihak MTCC amat berbesar hati dengan kehadiran Kamaruzaman dan berharap kehadirannya dapat merealisasikan aspirasi dan matlamat Malaysia ke arah pengurusan hutan mampan dan pensijilan.

“Saya percaya dengan pengalaman dan pengetahuan beliau dalam industri perkhidmatan serta pengurusan sumber manusia, Encik Kamaruzaman dapat memimpin Lembaga Pemegang Amanah serta Bahagian Pengurusan MTCC dengan baik.

“Kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan baik serta mengalu-alukan perspektif baharu yang bakal dibawanya dalam menerajui agenda pengurusan hutan mampan menerusi pelaksanaan Skim Pensijilan Kayu Malaysia yang digerakkan oleh MTCC,” katanya pada majlis sesi taklimat baru-baru ini.

Sebelum dilantik sebagai Pengerusi MTCC, Kamaruzaman pernah bergelar pensyarah dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di sebuah kolej swasta pada 1999.

Beliau kemudiannya, meneruskan kerjaya dalam industri perkhidmatan di sektor swasta khusus dalam bidang insurans takaful.

Lain-lain jawatan yang pernah disandang olehnya adalah sebagai Ketua Bahagian Integrasi Web serta Ketua Bahagian Pengurusan Sistem Maklumat.

-BebasNews

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post