NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menjana Semula Pemulihan Ekonomi – Syahir Sulaiman


Syahir Sulaiman
4 Jun 2020

Sekali ombak menghempas, sekali pantai berubah.

Itulah realiti yang melanda negara setelah berdepan dengan gelombang COVID-19. Ombaknya sudah reda tetapi kesannya sangat ketara.

Suka mahupun tidak, kelaziman baharu ataupun ketidaknormalan baharu (new abnormal) yang menyusul ini, akan mengubah lanskap kehidupan dan kanvas ekonomi dalam tempoh yang agak lama.

Namun atas sifat semulajadi manusia, setiap perubahan yang melanda akan diadaptasi dengan segera bagi memastikan kelangsungan hidup dapat diteruskan sebaiknya.

Impak ekonomi.

Sebagai sebuah negara yang saling bergantung kepada ekonomi terbuka (inter-dependent economy), penutupan sempadan dan kawalan pergerakan (PKP) telah membantutkan aktiviti dalam semua sektor dan rantaian ekonomi negara.

Menurut Jabatan Statistik Malaysia, jumlah kehilangan ouput ekonomi Malaysia pada suku pertama 2020 adalah sebanyak RM22.8 bilion yang disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.

Sejajar dengan itu, KDNK negara berkembang 0.7% pada suku pertama 2020, terendah sejak 2009. Tanpa COVID-19, ekonomi negara diunjurkan boleh berkembang pada kadar 3.9% - 4.2%.

Jumlah penganggur pada Mac 2020 meningkat 17% kepada 610,500 orang, menjadikan kadar pengangguran 3.9%, rekod tertinggi dalam tempoh 5 tahun.

Bagi mengurangkan impak ekonomi akibat wabak COVID-19, kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi ataupun Pakej PRIHATIN berjumlah RM250 bilion, memfokuskan untuk membantu rakyat yang terjejas, memudahkan aliran tunai, dan menampung dayatahan perniagaan.

Selain bantuan di pihak kerajaan, sektor perbankan turut berperanan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung rakyat dan perniagaan, di samping bantuan kebajikan yang disalurkan terus oleh NGO, sektor korporat dan Baitulmal kepada golongan yang memerlukan.

Menjana semula ekonomi.

Ekonomi negara dijangka pulih apabila 1.2 juta entiti perniagaan kembali aktif dengan segera.

Menurut Menteri Kewangan, Malaysia kini berada pada kapasiti yang bersedia bagi pemulihan ekonomi menjelang 2021, sejajar dengan pembukaan ekonomi negara yang menyaksikan hampir 70 peratus tenaga kerja kembali bekerja membabitkan beberapa sektor ekonomi utama.

Pendekatan 6R yang digariskan kerajaan, iaitu 'Resolve', 'Resilience', 'Restart', 'Recovery', 'Revitalise' dan 'Reform' adalah kerangka pemulihan ekonomi yang perlu disegerakan.

Dalam jangka masa pendek, tumpuan perlu diberikan untuk menjana peluang pekerjaan (job creation) dan memangkin dayatahan perniagaan.

Kerjasama awam-swasta boleh digerakkan bagi menyerap pekerja yang diberhentikan serta penganggur sedia ada melalui program latihan kemahiran (upskilling & reskilling), latihan keusahawanan, bantuan pemasaran dan sokongan perniagaan baharu (start-up).

Dalam jangka masa sederhana, insentif kos dan cukai perlu diberikan kepada industri dan PKS untuk mengurangkan kebergantungan buruh asing dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan pertanian, bagi membolehkan lebih ramai anak tempatan mendapat kerja, khususnya lambakan graduan baharu menjelang separuh kedua 2020.

Digitalisasi dan teknologi adalah peluang baharu yang perlu dimanfaatkan, bukan sahaja dalam sektor perniagaan, pendidikan dan perkhidmatan, namun boleh dilebarkan ke dalam sektor pertanian dan pembangunan luar bandar.

Dalam jangka masa panjang, penyusunan semula struktur ekonomi yang lebih mampan adalah jalan baharu yang perlu diteroka.

Isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan (income inequality), jaminan sosial (social safety), jaminan makanan (food security), kelestarian alam (sustainability), pekerja berkemahiran rendah (low-skilled labour) dan hutang kerajaan (fiscal debt) adalah permasalahan legasi yang memerlukan pendekatan baharu dan berani.

Namun di sebalik segala cabaran ini, muncul pelbagai peluang baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama, dengan penglibatan pihak kerajaan, usahawan, institusi pembiayaan, institusi pendidikan, pekerja, dan pengguna.

Bidang keusahawanan pastinya akan menyaksikan lonjakan, khususnya dalam kalangan usahawan belia, usahawan digital dan usahawan tani. Kepakaran sains dan teknologi akan terus dipertingkatkan, bukan sahaja dalam sektor perindustrian dan pembuatan, termasuklah dalam sektor pertanian dan perkhidmatan bagi memanfaatkan kemahiran dan kebolehan anak tempatan.

Justeru semua pihak perlu berperanan sebagai #penjana pemulihan ekonomi negara, dengan normal baharu yang mungkin menjadi kelaziman yang berkekalan. Umpama banjir besar yang melanda, akan muncul selepas itu suatu lembah yang subur menghijau.

#restart
#jobcreation


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo