NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memperkasakan Dewan Bahasa Dan Pustaka Dengan Perlantikan Tokoh Bahasa Negara



Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Bahasa adalah medium dan wahana untuk berkomunikasi dan melebarkan jaringan sosial serta menjadi alat perpaduan negara. Negara India pada suatu masa pernah berlaku kegegeran sosio politik akibat isu bahasa kerana kerencaman etnik negara itu sehingga bahasa Inggeris dipilih menjadi bahasa rasmi. Bahasa Melayu dalam denai sejarahnya, pernah menjadi lingua franca yang dipertuturkan oleh 84 bangsa yang datang berdagang ke Melaka dalam abad ke 15.

Bahasa Melayu terus berkembang dan diperkayakan dengan penambahan kosa kata pinjaman daripada pelbagai bahasa dalam dunia ini. Bahasa Melayu dituturkan oleh 300 juta penuturnya diseluruh dunia, menggambarkan betapa luas dan pentingnya bahasa ini sebagai wahana perpaduan, menggerakkan kuasa ekonomi dan pilihan kepada penduduk dunia sebagai bahasa komunikasi selain Bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Para leluhur tanah watan ini dalam membina peradaban dan jatidiri negara pasca kemerdekaan, telah berjaya mengangkat martabat bahasa kebangsaan kedalam artikel 152 Perlembagaan negara. Kini dengan wewenang politikus cauvanis atas nama keterbukaan dan persaingan global telah meremehkan bahasa kebangsaan dengan semudah memetik jari. Bangsa yang gagah berdiri seperti Jepun dan Peranchis tetap dengan bangga menjulang bahasa mereka, mengapa kita merasa kerdil dan kurang keyakinan diri untuk memartabatkan bahasa kebangsaan kita sendiri?.

Bahasa adalah jiwa bangsa, merosakkan kelestarian bahasa Kebangsaan adalah seperti merabik keharmonian tanah leluhur ini. Peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka wajiblah menjadi organ penting pemerkasaan bahasa kebangsaan dan dengan pertukaran kerajaan PN maka usaha yang serius wajar dilakukan untuk memenuhi matlamat penubuhan DBP yang juga adalah cetusan idea Prof.Zulkifli Mohamad, mantan Timbalan Presiden PAS dalam dekad 1950an dan 60an.

Tahniah kami ucapkan kepada tokoh bahasa , Datuk Dr. Awang Sariyan yang kini Kembali ke DBP sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengelola berkuatkuasa pada 22 Mei 2020 untuk tempoh tiga tahun mendatang. Sosok pemikir ini memang sinonim dengan perjuangan memperkasakan bahasa Melayu di negara kita semenjak zaman muda beliau lagi.

Nama Dr Awang Sariyan adalah begitu sinonim dengan perjuangan berterusan memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di negara kita. Beliau juga mempunyai pengalaman yang luas di dalam organisasi DBP sebelum ini dan selayaknya diangkat menerajui organ penting pemerkasaan Bahasa Melayu di tanah leluhur ini.

Perlantikan maestro bahasa ini amat disenangi, dihamparkan haruman kebahagiaan oleh khalayak penggiat sastera, gerakan swadaya bernuansa bahasa dan penulisan tanahair. PAS sebagai wadah ummah meraikan Dr Awang Sariyan mengemudi DBP dan bagi LESTARI kami mendoakan agar perlantikan bagi fasa tiga tahun mendatang ini akan membawa DBP ke tahap cemerlang dan yang lebih dihormati oleh semua pihak.

Perkasakanlah kembali Dewan Bahasa Dan Pustaka sebagai badan yang dihormati. Perkasakanlah kembali dasar-dasar bahasa Kebangsaan dibawah kerajaan Perikatan Nasional serta jadikanlah bahasa Kebangsaan kita sebagai kebanggaan rakyat Malaysia tanpa mengira latar etnik dan sosio budaya.

'Bahasa Jiwa Bangsa'

(Penulis adalah AJK PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo