NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan komited perkasa ekonomi 500,000 pekebun kecil Risda


KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Kerajaan komited dalam memastikan Program Pembangunan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mampu mengangkat ekonomi 500,000 pekebun kecil di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Beliau berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya meluluskan peruntukan bagi Program Pembangunan Risda berjumlah RM461 juta untuk tahun ini.

“Antara program utama yang dilaksanakan adalah pembangunan kawasan tanam semula dengan peruntukan RM261 juta, peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil RM38.2 juta dan pembangunan semula hasil baharu dengan peruntukan RM20 juta,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abd Latiff berkata Risda turut meneruskan program mempelbagaikan pendapatan dengan menyalurkan bantuan keusahawanan kepada pekebun kecil melalui aktiviti ekonomi tambahan dengan peruntukan RM50.3 juta.

“Program agromakanan seperti ternakan, tanaman jangka pendek dan panjang turut dilaksanakan untuk memberi sumber pendapatan kedua kepada pekebun kecil,” katanya.

Dr Abd Latiff berkata bantuan khas Hari Raya Aidilfitri 2020 COVID-19 bernilai RM300 turut diberi secara one-off kepada 291,904 pekebun kecil Risda yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19.

Risda juga membuat bayaran dividen sebanyak RM42.7 juta kepada 31,436 orang pekebun kecil yang layak dan sebanyak RM12.8 juta daripada jumlah itu dibayar kepada 16,080 peserta Rancangan Tanaman Baharu Berkelompok (RTBB) dan RM29.9 juta dibayar kepada 15,356 orang peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

Selain itu, Risda juga menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh 2019 berjumlah RM164.7 juta dan bantuan yang sama akan disalurkan kepada 274,639 orang pekebun kecil pada tahun ini.

Sementara itu, Abd Latiff turut mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah Risda yang baharu, Abdullah Zainal @ Deraman yang berkuat kuasa Rabu, menggantikan Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad yang menamatkan kontrak perkhidmatannya esok.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo