NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ibu bapa 'berkorban' sediakan akses internet


BERMULA semalam, semua sekolah mula beroperasi membabitkan kelas peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Bagi pelajar selain kelas peperiksaan terbabit, masih lagi meneruskan pembelajaran secara atas talian walau pun guru sudah bertugas seperti biasa di sekolah masing-masing.

Antara hikmah daripada penularan wabak Covid-19 adalah mengaplikasikan pembelajaran dalam talian yang diamalkan secara meluas oleh sebilangan besar pelajar di negara ini.

Malah, terdapat laporan berita ada pelajar yang sanggup memanjat pokok semata-mata bagi mendapatkan akses kepada talian internet bagi tujuan sesi pembelajaran.

Mungkin sebelum ini amalan sebegini asing bagi masyarakat di negara kita. Bukan saja pelajar, malah ibu bapa dan warga pendidik sendiri bertungkus-lumus mempelajari selok-belok pengetahuan agar pembelajaran atas talian dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Namun, adakah sudah cukup hanya pihak guru yang bersungguh-sungguh menyediakan bahan pembelajaran namun tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar yang berada di rumah terutama mereka yang bukan mengambil peperiksaan awam.

Oleh kerana itu, ibu bapa selaku pemimpin di rumah seharusnya peka dengan suasana normal baharu yang memerlukan pengorbanan yang besar daripada semua pihak agar sesi pembelajaran dapat berlangsung dengan sempurna.

Penulis sendiri pernah berhadapan dengan ibu bapa yang sanggup menyediakan peruntukan buat anak mereka menikmati akses internet dengan baik walaupun mereka daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Itulah antara pengorbanan ibu bapa yang tidak ternilai membuat pelaburan pendidikan untuk anak-anak.

Betapa besar ganjaran bagi mereka yang menuntut ilmu sudah disebutkan dalam beberapa hadis antaranya yang bermaksud "Sesiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga." (Hadis riwayat Abu Daud)

Akhirnya, kesan daripada budaya ilmu yang berfaedah juga akan dapat memberi keuntungan kepada diri bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab api neraka." (Surah al-Baqarah, ayat 201)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo