Cyberview pelawa pemula niaga teknologi sertai program CLLA


KUALA LUMPUR: Pemaju hab teknologi Cyberjaya, Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) mempelawa pemula niaga teknologi untuk menyertai kohort ke-14 program Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA).

Dalam kenyataan pada Jumaat, Cyberview berkata pihaknya sedang mencari pemula niaga yang berpotensi dalam bidang teknologi kewangan, Internet Pelbagai Benda (IoT), robotik, kepintaran buatan dan teknologi runcit untuk program tersebut khususnya yang boleh menawarkan mobiliti pintar, penjagaan kesihatan pintar dan penyelesaian kreatif digital.

Ketua Bahagian Pembangunan, Shafinaz Salim berkata program intensif selama lima bulan itu akan membolehkan syarikat membangunkan penyelesaian untuk meningkatkan penawaran bandar pintar di Cyberjaya.

"Peserta akan disediakan dengan sumber, kemudahan, bimbingan, rangkaian dan peluang akses kepada pasaran bernilai lebih RM100,000.

"Ia akan berpandukan Colnnov8, ruang kerjasama bandar pintar yang disediakan oleh Cyberview," katanya.

Sebaik program itu selesai, pemula niaga berpeluang menjadi perintis kepada penyelesaian dan teknologi atau melaksanakan strategi pergi ke pasaran dengan segera seperti akses pasaran, penyumberan bagi pendanaan tambahan atau pengkomersialan.

Program CLLA terbuka untuk permohonan mulai 18 hingga 30 Jun, 2020.

Pemula niaga yang berminat boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut di www.cyberview.com.my/accelerator.

-- BERNAMA

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post