NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: Kes Baharu dua digit "Belum Tentu Selamat"


Hakikatnya, Wabak COVID-19 di Malaysia masih menular. Ini terbukti dengan berlakunya setiap hari kes-kes baharu. Meskipun Negara kita sedang dalam PKPP - tempoh pemulihan yang melegakan banyak pihak. Namun kelok yang diimpikan melandai, tidak berlaku bagi kes-kes baharu COVID-19.

Kelok ini, sepanjang tempoh PKPP bermula 10 Jun lalu, ia mendongak sehingga 13 Jun menurun kemudian mendongak kembali pada 14 Jun dan menurun pada 15 dan 16 Jun, tetapi mendongak kembali pada hari semalam, 17 Jun.

Walau bagaimanapun, pola melandai boleh dirujuk kepada kes-kes pesakit yang sembuh dan jumlah kumulatif pesakit yang masih dirawat di hospital.

Permulaan kuatkuasa PKPP (10 Jun) jumlah kumulatif pesakit yang sedang dirawat seramai 1,206 orang dan pada 14 Jun ia menurun kepada tiga angka, 986 orang dan menurun lagi pada hari ini, (18 Jun) 408 orang.

Penurunan kes pesakit dirawat ini adalah kesan kebalikan daripada jumlah pesakit yang dirawatpulih iaitu lebih tinggi berbanding pertambahan kes baharu - (kes baharu bertambah pada dua digit; kes dirawatpulih bertambah pada tiga digit). Justeru itu, jumlah kumulatif pesakit yang sembuh/discaj telah meningkat daripada 7,014 pada 10 Jun kepada 8,000 kes pada 18 Jun atau 93.8 peratus telah sembuh berbanding jumlah keseluruhan kes (8,529 kes).

Hasilnya, seramai 408 kes yang boleh dianggap sebagai nilai kebolehjangkitan COVID-19 dalam Negara setakat ini.

Kemungkinan nilai kebolehjangkitan ini akan bertukar kepada peningkatan kes baharu sekiranya kealpaan dan kecuaian disiplin pihak-pihak yang ada hubungan rapat dengan pelbagai sumber kes. Di antaranya keluarga terdekat yang pernah ada sejarah hubungan dengan individu yang ada kes positif, tetapi mereka tidak menjalani pemerikasaan ujian COVID-19.

Namun satu kebimbangan besar adalah kemungkinan jangkitan dan penularan yang berterusan (tanpa putus rantaiaannya) sekiranya kemasukan individu atau kumpulan daripada luar negara yang berisiko (disebut kes import) melalui pintu masuk haram atau penyelinapan menerusi laluan tikus yang di luar pengetahuan pihak berkuasa. Paling membimbangkan dalam kemungkinan kes import ini (masuk tanpa pengetahuan) mereka tidak akan menjalani kuarantin, sebaliknya akan melakukan hubungan dengan sesiapa sahaja dengan bebas - kesannya akan muncul lagi kes-kes baharu.

Justeru langkah tegas pihak PDRM menggagalkan sendikit penyeludupan dan pemerdagangan warga asing amatlah dialu-alukan saat negara sedang digeruni dengan Wabak COVID-19.

Kita doakan agar pertambahan kes baharu dua digit yang dianggap "belum tentu selamat" akan bertukar daripada dua digit kes baharu kepada satu digit dan kosong dalam masa tedekat.

Malaysia dengan dua digit kes baharu

Perkembangan Wabak COVID-19 setakat 18 Jun 2020 (sumber KKM) terdapat 14 kes baharu. Jumlah ini melibatkan tiga (3) kes import dan 11 kes jangkitan dalam negara,
Bagi 11 kes dalam negara, tujuh (7) kes adalah daripada dalam kalangan bukan warganegara dan empat (4) kes lagi daripada dalam kalangan warganegara Malaysia.

Tujuh (7) kes dalam kalangan bukan warganegara adalah daripada:

(1) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdapat dua (2) kes, iaitu satu (1) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8455 dan kes ke-8508) dan satu (1) kes lagi adalah kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8498). Kesemuanya merupakan rakan serumah;

(2) Selangor terdapat satu (1) kes kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8368), iaitu ahli keluarga kepada kes ke-8368;

(3) Sarawak terdapat dua (2) kes adalah saringan di tempat kerja sektor pembinaan;

(4) Sabah terdapat satu (1) kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang;

(5) Perak terdapat satu (1) kes saringan sebelum memohon pulang ke negara asal beliau.

Sementara empat (4) kes dalam kalangan warganegara Malaysia pula adalah daripada:

(1) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terdapat dua (2) kes yang merupakan kakitangan bertugas di Kluster Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil

(2) Sarawak terdapat dua (2) kes, iaitu satu (1) kes saringan pra pembedahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching dan satu (1) kes lagi yang juga saringan untuk ke luar negara atas urusan penting.

Hari ini juga dilaporkan terdapat 127 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dan menjadikan kumulatif kes kepada 8,000 kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19. Sementara jumlah kes aktif (sedang dirawat di hospital) dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 408 kes.

Berdasarkan perkembangan kes baharu (+14), maka kumulatif keseluruhan kes positif Wabak COVID-19 di Negara kita sebanyak 8,529 kes.

Bersama-samalah kita mengambil langkah positif dengan memastikan secara kendiri mahupun kolektif bertekad membebaskan Negara daripada penularan Wabak COVID-19. Ins sya Allah kebersamaan kita akan dibantu oleh Tuhan Yang Maha Esa jua. Amiin.

WalLahu'alam.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo