COVID-19: Bulan Mei Menguji Masa Hadapan


Genap sebulan (Mei 2020) yang lalu merupakan bulan keempat Negara kita berhadapan dengan penularan Wabak COVID-19. Ia bermula awal Februari dengan kes pertama dikesan daripada pelancong yang memasuki Johor Bahru dairpada Singapura. Ia disusuli dengan kemasukan melalui Kota Kinabalu. Kesemuanya ada kaitan dengan perjalanan ke China.

Sepanjang dua bulan sebelum ini, kebanyakan kes penularan Wabak COVID-19 adalah dalam kalangan tempatan, berikutan sejumlah warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara diikuti dengan berlaku kontak rapat sehingga menyebabkan penularan mencecah kumulatif kes positif ke angka 4,000 pada Mac dan mencecah enam ribu penghujung April serta sepanjang Mei bertambah ke angka tujuh ribu atau tepatnya pada 31 Mei berjumlah 7,819 kes.

Menariknya untuk diteliti ialah sepanjang bulan Mei, berlaku kes-kes baharu Wabak COVID-19 dalam pola menaik pada minggu pertama, diikuti pola menurun mulai 4 Mei. Seterusnya pola menaik dan menurun dengan dua angka (two digits) sepanjang pertengahan Mei. Namun pada minggu terakhir Mei berlaku lonjakan secara mendongak kes baharu dan diikuti pola menaik dan menurun sekali lagi, sehinggalah pada 30 Mei menurun (30 kes) dan pada 31 Mei kembali menaik semula (57 kes) kes baharu dan pola menaiknya hanya pada dua angka.

Secara terperinci perkembangan harian sepanjang bulan Mei kes-kes penularan Wabak COVID-19 di Malaysia adalah seperti mana jadual di bawah.



Sepanjang bulan Mei juga merekodkan lima hari berlaku pertambahan kes baharu dengan jumlah ratusan (tiga angka), iaitu 2 Mei (105 kes), 3 Mei (122 kes), 25 Mei (172 kes) dan pada 26 Mei (187) serta 29 Mei (103 kes). Jumlah hari-hari yang meyaksikan pertambahan kes baharu dalam tiga angka ialah selama lima (5) hari, iaitu pada awal dan hujung bulan.

Begitu juga agak menarik dalam bulan Mei ialah berlaku penularan dua angka pada belasan kes, iaitu pada 12 Mei (16 kes), 16 Mei (17 kes), 27 Mei (15 kes) dan terkahir 28 Mei (10 kes). Sementara jumlah hari-hari dengan angka belasan kes baharu ialah pada minggu kedua dan akhir bulan Mei.

Secara umumnya, penyumbang terbesar kes baharu adalah dari tiga penularan utama iaitu kluster import, kluster bukan warganegara dan kluster warga tempatan. Sebagaimana dilaporkan, kes baharu yang terbesar ialah kes import dan Depot Tahanan Imigresen yang di situ ditempatkan semua Pendatang Tanpa Izin atau bukan warganegara yang menjadi tahanan.

Walaupun begitu, penamat bulan Mei adalah cukup menguji masa hadapan kita dan boleh dikatakan suatu perkembangan yang menjanjikan situasi agak baik ke arah pemulihan sepenuhnya para pesakit COVID-19. Ini dapat dilihat kepada penurunan dari 30 kes baharu (30 Mei) dan semalam (31 Mei) dengan 57 kes dan hari ini 1 Jun berjumlah 38 kes baharu.

Justeru itu, kita semua bertanggungjawab untuk mengambil pengalaman sepanjang Mei sebagai situasi menguji (penularan dari kluster import - jangkitan di luar negara dan warga asing) dan mengembirakan (penularan warga tempatan yang minimum). Malah kita turut bergembira, di penghujung Mei adalah minggu umat Islam menyambut AidilFitri dengan norma baharu dan doa kita agar sambutan perayaan tidak membuahkan penularan baharu.

Kepada Allah kita berserah dan kepada-Nya kita mengharapkan masa hadapan yang menggembirakan seluruh warga negara Malaysia.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post