NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin kunci Muafakat Nasional kuasai PRU15


PERCATURAN UMNO dan PAS dalam memeterai piagam Muafakat Nasional (MN) sejak kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu semakin membuahkan bibit-bibit kejayaan untuk terus memperoleh keyakinan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Keputusan positif itu sebenarnya sudah diterjemahkan menerusi kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung sebelum ini.

Kini, setelah tertubuhnya kerajaan baharu dilabel sebagai Perikatan Nasional (PN) hasil Langkah Sheraton yang dikatakan digerakkan oleh bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama sekutunya serta pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muafakat Nasional dilihat mampu menjadi platform untuk PN membina keyakinan rakyat.

Atas nama perjuangan Melayu dan Islam tanpa mengetepikan hak kaum lain, UMNO-Pas dikhabarkan mempertimbangkan pula penyatuan bersama Mohamed Azmin dan 11 ahli Parlimen yang menyokongnya serta Bersatu ke dalam Muafakat Nasional.

Spekulasi itu semakin kuat diperkatakan meskipun terdapat desas-desus Mohamed Azmin bakal menubuhkan parti baharu bagi membawa lebih ramai pemimpin dan ahli PKR bersamanya.

Bagaimanapun, khabar penyatuan bersama Muafakat Nasional itu telah mengundang reaksi kurang senang beberapa akar umbi UMNO dengan meletakkan isu tergugatnya UMNO sebagai parti yang dominan kelak.

Nampaknya suara segelintir UMNO yang lantang itu ibarat meletakkan UMNO-Pas mahupun PN sendiri dalam keadaan berisiko hilang kuasa dek kerana sikap tidak mahu berkongsi kuasa.

Ayam tambatan

Senario itu diakui oleh penganalisis politik veteran, Prof Dr Ahmad Atory Hussain yang menyifatkan UMNO perlu bijak dalam membuat pertimbangan apatah lagi melibatkan figura politik bernama Mohamed Azmin untuk menyertai Muafakat Nasional.

Katanya, Azmin boleh diibaratkan seperti ayam tambatan yang boleh menentukan hala tuju PN dalam PRU akan datang.

“Tentang Azmin, harus diingat, politik bukan soal khianat, kita bercakap tentang strategi. Ini perkara yang dibenarkan undang-undang. Kalau Azmin tak keluar Pakatan Harapan (PH) membantu Bersatu, tak akan ada PN hari ini.

“Kalau nak tolak Azmin, maaf, dari segi ini Azmin sangat licik. Akhirnya kalau dia kata hendak sokong Tun Dr Mahathir Mohamad, tutup urusan UMNO dan Bersatu.

“Azmin ini ibarat ayam tambatan. Ayam tambatan ini orang tak sembelih, (sebaliknya) orang jadikan untuk menambat dan menarik orang untuk bersama. Kalau UMNO anggap Azmin sebagai ancaman, Azmin mungkin keluar dan tidak mahu sertai Muafakat Nasional maka habislah UMNO,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Atory berkata, pembahagian kerusi tidak sepatutnya menjadi halangan untuk Mohamed Azmin mahupun Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional.

Katanya, UMNO mempunyai 80 kerusi Parlimen yang boleh ditandingi dan kerusi tradisi itu tidak akan digugat oleh Mohamed Azmin mahupun Bersatu kerana angka itu merupakan angka tertinggi jumlah kerusi Parlimen pernah dimenangi UMNO.

“Pada saya Azmin perlu diberi ruang bertanding di kerusi PKR sekarang ini, tak perlu nak beri kerusi UMNO.

“Kerusi PKR dia sudah ambil 11 (kerusi Parlimen), ada lagi 40 kerusi Parlimen (milik PKR) jadi Azmin patut bertanding di kerusi-kerusi ditandingi parti itu dan kerusi DAP. Dia perlu lawanlah (di situ), tidak perlu menempel di kerusi UMNO atau Pas,” katanya.

Tambah beliau, tuntutan Bersatu yang dikatakan mahu bertanding 50 kerusi juga tidak dilihat menimbulkan masalah.

“Pas pula boleh bertanding sampai 30 kerusi kerana ia pernah menang sehingga 28 kerusi ketika PRU tahun 1999,” katanya.

Parti dominanDr Ahmad Atory berkata, UMNO perlu belajar daripada kekalahan pada PRU15 sekiranya parti itu masih mementingkan diri untuk menjadi dominan.

“Kalau tak nak berkongsi hal berkongsi kuasa, kalau hendak fikirkan UMNO sebagai dominan dan king maker, UMNO akan kalah.

“Jadi UMNO perlu kurangkan soal dominan, tetapi berkongsi kuasa. Bukannya dengan orang lain tapi dengan orang Islam juga. Bukan senang nak keluarkan Azmin dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin. UMNO pun tak ada ketokohan yang lebih daripada Muhyiddin,” katanya.

Justeru, katanya, semua parti terlibat perlu berkorban dan bertolak ansur demi kesepakatan bersama.

“Kalau tidak, saya rasa lebih baik masing-masing bertanding ikut parti masing-masing. Lepas pada itu (PRU) barulah tubuh kerajaan,” katanya.

Perjuangan Melayu

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed melihat penyertaan Azmin dan Bersatu dalam Muafakat Nasional tidak akan menjejaskan UMNO.

Bahkan, beliau menyifatkan keputusan itu akan memberi kelebihan kepada parti Melayu itu atas faktor mempunyai jentera yang lebih tersusun.

Katanya, langkah Bersatu dan bekas pemimpin PKR menyertai Muafakat Nasional juga akan memberikan satu nilai tambah terhadap perjuangan kepentingan Melayu.

“Apabila memperjuangkan kepentingan kaum Melayu, mereka mesti berada pada satu platform yang sama kerana jika mereka ini tidak berada dalam Muafakat Nasional untuk membawa wadah perjuangan Melayu sahaja, ia akan menjadi lebih sensitif terutama apabila isu komponen parti dalam PN diambil kira,” katanya.

Tambah beliau, keupayaan UMNO dan Pas membentuk kerajaan juga adalah sebahagian kerana usaha Azmin dan sekutunya.

“Jadi berdasarkan kepada platform menjaga kepentingan Melayu, bagi saya usaha Azmin untuk terlibat dalam Muafakat Nasional tidak banyak bertentangan walaupun ada sebahagian pemimpin UMNO yang agak curiga kerana Azmin rapat dengan Muhyiddin dan diberikan jawatan yang agak penting dalam kerajaan,” katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo