TEPAT. TELUS. TERKINI.

UMMAH Terengganu buat empat laporan polis


KUALA TERENGGANU: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membuat laporan polis serentak semalam terhadap empat pemimpin Pakatan Harapan (PH) di seluruh negara.

Empat pemimpin PH berikut iaitu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad; Presiden PAN, Mohamad Sabu; Bekas Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Pengerusi UMMAH Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, laporan polis dibuat kerana empat pemimpin PH telah menuduh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu dibentuk selepas kerajaan PH tumbang, memerintah dengan kerusi parlimen yang palsu.

Malah, menurutnya kerajaan PN memerintah dengan kerusi yang tidak mencukupi bagi membentuk sebuah kerajaan ‘simple’ majoriti di negara ini.

“Mereka (PH) menuduh kerajaan PN memerintah dengan majoriti kerusi parlimen yang palsu. Beliau mendakwa, kerajaan PN tidak cukup kerusi (112) untuk ‘simple’ majoriti.

“Selain itu menuduh, Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) tidak ‘confident’ (yakin) dengan jumlah itu.

“Khalid Samad mendakwa, kerajaan PN ada 100 kerusi sahaja daripada 222 kerusi parlimen. Kita anggap maklumat dia itu tidak betul dan satu tuduhan kepada kerajaan PN dan mempertikaikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong memilih kerajaan,” ujarnya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas membuat empat laporan polis bersama dua gabungan NGO iaitu Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) dan Wala’un United, di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Terengganu.

Menurut Wan Faizul, beliau membuat laporan polis itu ke atas Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan.

Katanya, ucapan Khalid dalam satu rakaman video itu cuba menanamkan bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap institusi Raja atau Sultan.

“Ini merupakan satu kesalahan di sisi Undang-Undang Negara khususnya di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Menurutnya, tujuan laporan polis itu pertama bagi minta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

“Kedua, supaya rakyat sedar bahawa individu yang menjadi pemimpin kepada parti-parti PH itu tidak lagi dipilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang. Mereka banyak membuat kenyataan yang tidak betul serta berbaur hasutan,” jelasnya.

Exco NGO GANTI, Abdul Halim Mohd pula membuat laporan polis terhadap Presiden PAN, Mohamad Sabu, yang disifatkan cuba menanam kebencian, penghinaan dan membangkitkan perasaan tidak setia kepada pentadbiran di Malaysia.

Tindakan itu terutama, katanya terhadap pihak polis dengan mendakwa polis tidak berlaku adil dalam melaksanakan tugas.

“Ucapan Mohamad Sabu itu merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara khususnya di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Kesalahan ini amat serius kerana Mohamad Sabu bekas Menteri Pertahanan, Ahli Parlimen Kota Raja dan Presiden sebuah parti politik (PAN),” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha GANTI, Ahmad Sabri Yusof pula membuat laporan polisnya terhadap Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga mantan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, ucapan Dr Dzulkefly juga disifatkan cuba menanam bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap institusi Raja atau Sultan, yang merupakan satu kesalahan di sisi Undang-undang Negara.

“Kesalahan itu, khususnya di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan. Ini sangat serius kerana beliau (Dr Dzulkefly) juga merupakan bekas Menteri Kesihatan, Ahli Parlimen (Kuala Selangor) dan pemimpin parti PAN,” jelasnya.

Manakala, wakil NGO Wala’un United, Encik Shahir Harun pula membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Ini kerana, kata beliau, dalam ucapan Saifuddin mendakwa Tun Dr Mahathir gagal memasuki Istana mengadap Yang di-Pertuan Agong kerana pintu Istana sudah ditutup.

“Apabila Tun Dr Mahathir cuba pergi ke Istana, bagi menyatakan bahawa bukan 36 (Ahli Parlimen Bersatu) orang yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, waktu itu pintu Istana sudah ditutup dan Tun (Mahathir) tidak dibenarkan masuk. Kalau hari itu Tun (Mahathir) dapat masuk, cerita dah jadi lain,” jelasnya mengenai ucapan Saifuddin Nasution.

Menurutnya, kesalahan tu juga serius kerana pemimpin itu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu yang ramai pengikut.

Harakahdaily dimaklumkan, keempat-empat pemimpin PH itu dipercayai mengulas isu berkaitan peralihan kuasa dari Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), ekoran perletakan jawatan secara mengejut Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7, pada 24 Mac lalu.- HARAKAHDAILY 5/5/2020
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget